Home » Gangguan bekalan gula, kerajaan perlu penyelesaian jangka panjang
Berita Tempatan Politik

Gangguan bekalan gula, kerajaan perlu penyelesaian jangka panjang

BERTUAH: Armizan (tiga kiri) bersama Jannie (dua kiri) dan tetamu jemputan lain merakamkan kenangan bersama penerima hadiah cabutan bertuah pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu meneliti penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu bekalan gula di pasaran tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu gangguan bekalan gula yang dihadapi rakyat khususnya di Sabah disebabkan oleh faktor kenaikan tinggi harga gula mentah di pasaran dunia.

Katanya, gangguan bekalan yang menjadi isu sehingga kini melibatkan bekalan gula putih bertapis pada harga RM2.85.

Menurutnya, sejak 2021, kenaikan harga gula mentah di pasaran global melebihi kadar 150 peratus.

“Dua pengilang utama yang membekalkan gula dengan kawalan harga RM2.85 kini mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu kerana kos mereka semakin meningkat.

“Kerajaan hanya mengawal harga gula putih bertapis berharga RM2.85 tanpa memberikan sebarang subsidi kepada para pengilang.

“Justeru, kerajaan sedang meneliti penyelesaian jangka panjang berhubung isu bekalan gula di pasaran tempatan,” katanya pada sidang media sempena Program Jualan Rahmah dan Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sini kelmarin.

Beliau berkata, sejak memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Julai 2023, kementerian berkenaan mengambil pendekatan untuk melonggarkan syarat permit import (AP) dengan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mengimport gula.

Katanya, sejak Julai 2023, sebanyak 43 syarikat diberikan permit kelulusan kuota import dengan jumlah 557,080 metrik tan, bagi membolehkan mana-mana pihak mencari sumber bekalan gula mentah pada kadar yang rendah.

“Namun, sehingga 12 Disember 2023, sumber bekalan gula yang berjaya dibawa masuk hanya pada kadar lima peratus dan hanya untuk kegunaan sendiri.

“Ini bermaksud tidak ada pihak yang berupaya untuk mencari sumber bekalan gula mentah untuk diproses dan kemudiannya dijual pada harga kawalan RM2.85.

“KPDN masih membuka ruang kelonggaran AP secara bersyarat. Sekiranya ada mana-mana pihak boleh membawa masuk dan menjual gula bertapis pada harga RM2.85, sila mohon dan kita akan beri kelulusan segera,” jelasnya.

Armizan berkata, pihaknya memberi kelonggaran berkenaan sejak Julai  lepas dan bermula 1 Januari 2024, KPDN akan membuat penilaian dan perlu bertindak untuk membuat keputusan segera bagi menggelakkan gangguan bekalan yang lebih besar.

Menurutnya, solusi jangka panjang yang dibuat kerajaan akan berpandukan kepada dua keutamaan iaitu faktor harga yang munasabah dan bekalan gula yang stabil di pasaran.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment