Home » Penduduk Tenom jayakan inisiatif Yayasan PETRONAS tanam sejuta pokok
Berita Tempatan Politik

Penduduk Tenom jayakan inisiatif Yayasan PETRONAS tanam sejuta pokok

Hadir sama menjayakan program Yayasan PETRONAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang, Ketua Jabatan Perhutanan Sabah Perancangan Sektor Rosila Anthony, Pegawai Perhutanan Daerah Tenom Harry Francis Ikok dan Yayasan Ketua Operasi PETRONAS Tengku Noraida Tengku Mahmood.

TENOM: Seramai 200 penduduk dari empat buah kampung sekitar Hutan Simpan Kungkular, di sini menjayakan program Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah baru-baru ini.

Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab berkata, Program Penglibatan Masyarakat dan Kesedaran di Kampung Kungkular yang dijalankan pada 9 Disember lalu itu adalah sebahagian aktiviti berterusan inisiatif Yayasan PETRONAS untuk menanam sejuta pokok di seluruh Malaysia menjelang 2027.

“Hutan Simpan Kungkular dikenal pasti sebagai tapak penanaman di Sabah untuk inisiatif ini dengan kerjasama pihak Jabatan Perhutanan Sabah.

“Program ini dilaksanakan hasil beberapa siri kejayaan pelaksanaan inisiatif penanaman pokok di seluruh negara, kita berharap agar program ini dapat menyemai kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya semasa program terbabit.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kemabong Datuk Rubin Balang, Ketua Jabatan Perhutanan Sabah Perancangan Sektor Rosila Anthony, Pegawai Perhutanan Daerah Tenom Harry Francis Ikok dan Yayasan Ketua Operasi PETRONAS Tengku Noraida Tengku Mahmood. 

Program turut dihadiri penduduk Kampung Kungkular, Kampung Nanturaan, Kampung Lohot dan Kampung Sosopon.

Beliau berkata, usaha penanaman pokok juga memerlukan komuniti dilengkapkan dengan

pendidikan tentang amalan pemuliharaan dan pemulihan hutan.

“Pengetahuan terbabit membolehkan masyarakat menjadi sebahagian daripada pihak yang memelihara hutan negara.

“Sepanjang program ini juga pelbagai aktiviti termasuk perkongsian mengenai penjagaan alam sekitar dan faedah memelihara persekitaran semula jadi,” katanya.

Inisiatif penanaman pokok Yayasan PETRONAS selaras dengan Kempen Penanaman Pokok bagi Program Penghijauan Malaysia, yang bertujuan untuk memelihara sekurang-kurangnya 50

peratus daripada hutan dan pokok negara.

Dalam program Walk4Trees, yang dilancarkan pada 2020, Yayasan menanam lebih 70,000 pokok di 14 tapak di seluruh Malaysia, termasuk di Binsulok, Beaufort, yang menyaksikan penanaman 7,000 pokok.

— Vivi Olviana Najurus