Home » GRS fokus bangunkan ekonomi untuk rakyat, bukan kerajaan ‘tebuk atap’ – Masidi
Berita Tempatan Politik

GRS fokus bangunkan ekonomi untuk rakyat, bukan kerajaan ‘tebuk atap’ – Masidi

Masidi (tengah) berkata demikian ketika beliau ditemui menghadiri Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini fokus kepada usaha memulih serta membangunkan ekonomi untuk rakyat dan bukan menggantikan Kerajaan Perpaduan sedia ada melalui cara menukar sokongan atau ‘tebuk atap’, kata Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata pendirian parti itu jelas menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan usaha pembangunan ekonomi untuk rakyat dapat diteruskan serta berjalan lancar.

Menteri Kewangan Sabah itu berkata GRS juga menyokong kepimpinan Anwar untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan menerajui kerajaan masa ini sehingga penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan itu selesai.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden StarSabah YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan di Majlis Sambutan Hari Krismas 2023 dan Sambutan Tahun Baharu 2024 yang turut dihadiri oleh TYT Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Marhiruddin dan Isteri.

“Bagi GRS, tumpuan kita kepada pemulihan ekonomi kerana rakyat kita terjejas dengan ekonomi tidak menentu masa ini, jadi kita tumpu kepada (usaha) bangunkan ekonomi kembali untuk rakyat kita dan tumpukan semua usaha kita ke arah ini.

“Kita juga rasa selesa dengan Kerajaan Perpaduan ini kerana kita dihargai. Dalam sebuah kerajaan setiap ahli hendaklah dilihat penting jadi kita lihat dan rasa GRS ini komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pada Sabtu lepas, Anwar dilaporkan menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Beliau berkata dalam situasi politik semasa, pendirian Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama di Sarawak iaitu GPS dan di Sabah iaitu GRS yang akan memungkinkan perubahan kerajaan berlaku.

Masidi berkata parti politik seharusnya memberi keutamaan kepada usaha membantu rakyat melalui pemulihan serta pembangunan ekonomi dan melupakan perkara remeh dalam politik untuk bersama-sama melaksanakan usaha tersebut.

Ditanya tentang kerjasama antara PBS dan STAR, beliau berkata dua parti komponen GRS itu memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan GRS sendiri, selain langkah yang betul menyatukan rakyat di Sabah.

Selain PBS dan STAR, parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

— BERNAMA

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment