Home » Sambutan Hari Natal Peringkat Zon Usuk berlangsung meriah
Berita Tempatan Politik

Sambutan Hari Natal Peringkat Zon Usuk berlangsung meriah

SAMPAIKAN: Yusof (kiri) menyampaikan sumbangan Krismas kepada kanak-kanak sempena majlis itu.

SIPITANG: Sambutan perayaan Hari Natal anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin Zon Usuk dengan kerjasama komuniti Kampung Pepolor Sipitang berlangsung meriah.

Majlis sambutan itu bertambah seri dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.


Pengerusi pelaksana sambutan, Roddey Michael menyifatkan kehadiran wakil rakyat ke majlis itu membawa makna yang cukup besar kerana ia julung kali dianjurkan dan kedatangan ADUN Sindumin dapat mengeratkan silaturahim sesama masyarakat yang menghadiri majlis itu.


“Penduduk Kg Pepolor sangat bersyukur dan pada masa sama teruja dengan kehadiran wakil rakyat mereka kerana dapat bersama dalam sambutan perayaan yang mereka laksanakan sungguhpun mempunyai jadual yang amat ketat, ” katanya.

Pengerusi pelaksana sambutan, Roddey Michael menyifatkan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob ke majlis itu membawa makna yang cukup besar kerana ia julung kali dianjurkan dan kedatangan ADUN Sindumin dapat mengeratkan silaturahim sesama masyarakat yang menghadiri majlis itu.

Sementara itu Yusof yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin ketika ditemui berkata, sebagai pemimpin adalah menjadi tanggungjawab untuk berusaha memberi komitmen hadir pada setiap program-program yang dianjurkan komuniti kampung termasuk anjuran jabatan dan agensi kerajaan serta NGO, kerana ia secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan.

“Rakyat harus disantuni selalu sebagai menghargai sokongan dan kebersamaan mereka yang sentiasa mendokong hasrat kerajaan negeri yang mengutamakan kestabilan serta keharmonian.


“Perayaan apa pun yang disambut sebagai wakil rakyat saya sentiasa menyokong pelaksanaannya dan akan berusaha hadir bersama kepimpinan setempat walaupun bukan semuanya dapat dihadiri berikutan jadual kerja dan tugasan yang sangat padat.


“Ini semua adalah sebagai menghargai sokongan rakyat di kawasan. Tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa pelaksana kerana telah berjaya melaksanakan majlis seperti ini walaupun biasanya pada hari ini diraikan bersama keluarga masing-masing, ” katanya.

Pada majlis itu, Yacob meluangkan masa menyampaikan sumbangan kepada warga emas, pesakit serta kanak-kanak yang diraikan sempena sambutan Hari Natal.


Turut hadir kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin, AJK Sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis; Ketua-Ketua Cawangan dan Ahli Zon Usuk; Ketua Kampung Pepolor; Pengerusi JKKK Kg Pepolor; Pengerusi Gereja SIB Pepolor; Wakil MAN; Pemaju Mukim serta penduduk setempat.

— Kenneddy Corlleus