Home » Isnin pelawa penganjur adakan kejohanan besar sukan bola tampar di Beaufort
Berita Tempatan Sukan

Isnin pelawa penganjur adakan kejohanan besar sukan bola tampar di Beaufort

ALBUM: Isnin merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pasukan yang menyertai kejohanan itu .

BEAUFORT: Daerah Beaufort bersedia menjadi tuan rumah bagi sebarang penganjuran kejohanan besar sukan bola tampar di negeri ini, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.

Mengulas lanjut, Isnin berkata, ia susulan fasiliti sukan bola tampar dimiliki daerah itu di Dewan Pa’ Musa yang telah dinaiktaraf.


“Kita melalui Persatuan Bola Tampar Daerah Beaufort memiliki fasiliti lengkap yang memenuhi piawaian ditetapkan untuk penganjuran sebarang kejohanan besar sukan bola tampar ini.


“Justeru, kita berharap daerah ini diberi peluang menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Bola Tampar Piala Presiden atau pun Kejohanan Bola Tampar Piala Ketua Menteri akan datang ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Bola Tampar Lelaki Terbuka Sabah anjuran Persatuan Bola Tampar Daerah Beaufort yang diadakan di Dewan Pa’ Musa, pada Ahad lepas.

Bercakap mengenai pertandingan itu, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Klias berkata, ia bukti bahawa Beaufort mempunyai keupayaan dari segi fasiliti dan pengurusan bagi kejohanan besar sukan itu.


Katanya, pasukan Bola Tampar yang bertanding di kejohanan itu merupakan pasukan elit sukan Bola Tampar di Sabah yang sememangnya biasa menyertai banyak kejohanan besar di negara ini.


“Semua pasukan berpuashati dengan pengurusan dan fasiliti disediakan Persatuan Bola Tampar Daerah Beaufort sepanjang ‘berkampung’ daerah ini,” katanya.


Terdahulu, pasukan Perseba VC dari Lahad Datu muncul juara selepas mengalahkan Gaggil VC dari Semporna dengan tiga set berbalas kosong pada perlawanan akhir sekaligus membawa pulang piala kejuaraan dan dan hadiah utama.


Sebanyak 16 pasukan elit pasukan bola tampar dari seluruh Sabah menyertai pertandingan itu bagi merebut hadiah utama ditawarkan iaitu RM5,000 johan pasukan; RM3,000 naib johan dan RM1,500 untuk tempat ketiga.

— Kenneddy Corlleus