Home » Kita kuat jika kita bersatu: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kita kuat jika kita bersatu: Hajiji

Hajiji (kiri) berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu 2024 hari ini.

KOTA KINABALU: Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan Sabah selagi rakyat bersatu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebagai Ketua Menteri, beliau komited untuk melihat Sabah yang dicintai rakyat kekal bersatu, makmur dan inklusif. 

“Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu. Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan kita sebagai rakyat Sabah.

“Dengan bersatu, kita akan dapat melawan sebarang percubaan untuk menjejaskan kestabilan dan untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan tanpa halangan.

“Saya berasa terharu dan bersyukur kepada orang ramai dan semua penyokong yang sehaluan yang telah menyokong kami, percaya dengan keikhlasan kami untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah.

“Mari kita mengetepikan politik dan buang sebarang perpecahan yang hanya akan memecahbelahkan. 

“Kita mesti melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian dan komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2024, hari ini.

Beliau berkata, dengan sokongan daripada rakyat, kerajaan negeri telah mengorak langkah yang baik dalam memajukan pelan pembangunannya iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Di ambang Tahun Baharu ini, sudah tiba masanya untuk merenung kembali tahun lalu dan menanti kedatangan tahun baru dengan harapan dan keyakinan. 

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran (pada 2023), kita tetap teguh dalam melaksanakan agenda SMJ dan terus berada di landasan. 

“Komitmen kita terhadap pertumbuhan akan terus kekal dan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Hajiji berkata, dalam Belanjawan Sabah 2024 yang telah diluluskan baru-baru ini berjumlah RM5.701 bilion, adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

“Kita telah menyasarkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negeri dalam semua sektor.

“Kita akan terus membina kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan spin-off ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua kejayaan dan rancangan ini tidak akan bermakna tanpa gabungan usaha dan komitmen semua serta persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan itu.

Hajiji mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam kabinet, penjawat awam dan rakyat Sabah atas sokongan berterusan mereka serta mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua.

— TAMAT