PETALING JAYA: Sarawak akan mengambil alih “organisasi besar” pada 2024, kata Premier Abang Johari Openg.
Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan kerajaan negeri terus menambah pendapatannya.
“Saya yakin pada 2024, kejayaan kita akan diteruskan dengan ekonomi kita menjadi lebih mantap.
“Kita mungkin akan ada organisasi besar yang kita ambil alih pada 2024. Biar saya umumkan bila saya ambil alih dan Insya-Allah saya yakin pendapatan Sarawak akan bertambah,” katanya menurut Utusan Borneo ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, di Tebingan Kuching, malam tadi.
Bagaimanapun, Abang Johari yang juga menteri kewangan negeri tidak memberikan perincian lanjut berhubung pengambil alihan dimaksudkan.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak dijangka mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan pada Julai ini.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Majang Renggi berkata, inisiatif itu akan memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas, aktiviti pertengahan dan hiliran, minyak makan, termasuk pengeluaran hidrogen dan biofuel
Selain itu, kerajaan negeri dalam proses mengambil alih syarikat penerbangan, MASWings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Berhad.
Pada 22 Nov lalu, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Dana Kekayaan Berdaulat 2022 dengan peruntukan awal sebanyak RM8 bilion, sekali gus menjadikan ia negeri pertama di negara ini berbuat demikian.
— TAMAT
Add Comment