Home » Kerajaan GRS-PH Plus bukan seperti ‘ayam bertelur, riuh sekampung’: Masiung
Berita Tempatan Politik

Kerajaan GRS-PH Plus bukan seperti ‘ayam bertelur, riuh sekampung’: Masiung

Masiung (tengah) selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 pagi ini.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi perumpamaan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus bukan seperti ayam bertelur tetapi riuh sekampung.

Sebaliknya, beliau memaklumkan, kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor itu melaksanakan tugas tanpa dihebahkan kepada umum tetapi akhirnya menunjukkan hasil kepada rakyat.

Menurutnya, beberapa perkara disimpulkan selepas meneliti dan mendengar Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri.

“Yang pertama, ini menunjukkan komitmen daripada kerajaan negeri, walaupun di luar didengar bahawa kerajaan pimpinan ADUN Sulaman tidak bermaya, tidak cergas, tidak bersuara tetapi kerajaan ini adalah kerajaan yang diam-diam tetapi bekerja.

“Kita bukan macam ayam betina yang bertelur, kalau ayam betina yang bertelur, dia bertelur satu biji satu kampung mendengar suaranya berkokok. Tidak, Yang Berhormat ADUN Sulaman dia diam-diam tetapi bekerja dan hari ini adalah hasil daripada kerja Yang Berhormat Sulaman,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahasnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Sabah pada Rabu.

Tambahnya, banyak isu membabitkan bekalan elektrik berlaku di Sabah disebabkan pertambahan penggunaan tenaga elektrik dengan kemasukan pelabur yang memulakan perniagaan di negeri ini.

“Kerajaan faham bahawa kadar penggunaan dari hari ke hari semakin bertambah apatah lagi dengan kestabilan politik dan keyakinan pelabur luar terhadap kepimpinan kerajaan negeri ini, maka berduyun-duyun pelabur datang melabur membuka kilang dan sebagainya dan itu memerlukan tambahan penggunaan tenaga elektrik.

“Jadi kalau kita tanya apa cadangan, apa tindakan kerajaan negeri, inilah dia. Dengan bermulanya mengambil alih kuasa daripada kerajaan Persekutuan sebab selepas itu nanti semua perancangan akan dibentang dan sudahpun dibaca oleh Ketua Menteri sebentar tadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pengambil alihan kuasa mengawal selia elektrik Sabah bukan melibatkan kenaikan tarif elektrik di negeri ini.

“Di luar sana bertanya adakah selepas ini kerajaan negeri akan menaik tarif elektrik, bil-bil elektrik adakah akan melambung naik?

“Menurut pandangan saya, yang kita akan luluskan hari ini tidak ada kenaikan tarif elektrik jadi rakyat di luar jangan takut.

“Kami tidak meluluskan kenaikan tarif elektrik tetapi sekadar untuk meluluskan mengambil alih kawal selia elektrik,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus