Home » Penubuhan ECoS bukti komitmen Kerajaan Negeri ke arah pentadbiran cekap tenaga
Berita Tempatan Politik

Penubuhan ECoS bukti komitmen Kerajaan Negeri ke arah pentadbiran cekap tenaga

BAHAS: Annuar semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Penubuhan Energy Commission of Sabah (ECoS) di bawah Jabatan Ketua Menteri diyakini bukan sahaja dapat memaksimumkan potensi tenaga di Sabah tetapi juga berupaya memberi peluang kepada anak tempatan dalam sektor tenaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman berkata, penubuhan ECoS jelas membuktikan komitmen Kerajaan Negeri ke arah pentadbiran tenaga yang cekap, mampan dan berdaya harap di Sabah.


“Adalah menjadi harapan saya agar kakitangan yang dilantik untuk mengendalikan operasi ECoS mengemudi landskap tenaga di Sabah dengan teratur (baik).


“Fungsi ECoS juga adalah untuk memastikan kecekapan tenaga kerja yang merangkumi pengurusan tenaga dari segi penjanaan, penghantaran dan pembahagian serta memastikan kelestarian tenaga di Sabah.

 
“Justeru, penubuhan ECoS memberi Kerajaan Negeri pendekatan proaktif dalam menyelaraskan dasar tenaga kita berdasarkan standard global dengan memperincikan keperluan khusus bagi mengecapi aspirasi jangka masa panjang rakyat Sabah.


“Penubuhan ECoS adalah diharapkan dapat memupuk persekitaran yang mana sumber tenaga digunakan secara optimum, menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta memastikan pemuliharaan alam sekitar, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu-isu berbangkit mengenai Enakmen Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024 dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Annuar turut menzahirkan harapan agar pasukan yang dibentuk dalam ECoS dapat memberikan komitmen yang tinggi dengan penuh dedikasi dalam memajukan sektor tenaga di wilayah Sabah.


“Komitmen terhadap ketelusan, akauntabiliti dan inklusiviti pastinya akan membuka jalan untuk infrastruktur tenaga yang lebih kukuh dan mampan di Sabah.


“Keupayaan serta Kemahiran yang tinggi adalah merupakan kunci utama di dalam usaha untuk menjayakan inisiatif-inisiatif yang telah dirangka dalam pelan induk tenaga Negeri iaitu Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 19 September lepas.

“Saya ingin menyatakan satu contoh yang memberangsangkan iaitu penubuhan suatu pusat latihan bertauliah yang pertama di Negeri Sabah untuk program kekompetenan industri gas di Universiti Malaysia Sabah yang diusahakan bersama dengan pihak ECoS.


“Ini adalah cerminan hasil daripada fokus ke atas pembangunan kemahiran modal insan yang dapat melahirkan pekerja mahir di kalangan anak-anak Sabah dan seterusnya memberikan peluang pekerjaan berkualiti tinggi selari dengan teras pembangunan industri sepertimana hala tuju Sabah Maju Jaya.


“Saya percaya usaha ini akan diteruskan lagi untuk membina kekompetenan di dalam bidang industri elektrik dan tenaga boleh baharu melalui perancangan yang sama ke arah penubuhan pusat latihan bertauliah di Sabah.


“Saya yakin dan berharap bahawa ECoS, berdasarkan kemampuan yang ada pada mereka, akan menjadi pemangkin dalam membawa Sabah ke arah masa depan yang diterajui oleh budaya inovasi, kecekapan dan kelestarian, ” katanya.


Dalam pada itu, Annuar turut mencadangkan supaya diadakan persempadanan yang jelas antara pembuat polisi dan kuasa kawal selia dalam usaha menambah baik sektor tenaga di Sabah.


“Ini penting agar rancangan tindakan yang telah dipersetujui secara rasmi sebagai asas untuk membuat tindakan oleh pihak berkuasa seperti ECoS.


“Kejayaan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas pada pada Januari tahun lepas, serta usaha pengambilalihan kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada tahun ini, adalah hasil daripada komitmen serta kerja keras Kerajaan Negeri Sabah dalam menuntut hak-hak kita seperti yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Saya berharap, melalui Jawatankuasa Teknikal MA63 yang turut disertai oleh pimpinan negeri, lebih banyak lagi hak-hak di dalam MA63 dapat dikembalikan semula kepada kita dalam masa yang terdekat ini.


“Saya juga ingin menyeru kepada Kerajaan Negeri Sabah agar terus mempergiat dan meningkatkan lagi usaha kita berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini, seperti yang terkandung di dalam perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus