Home » Rujuk MUIS dan JHEAINS jika keliru dengan isu halalan toyyiban: Arifin
Berita Tempatan Politik

Rujuk MUIS dan JHEAINS jika keliru dengan isu halalan toyyiban: Arifin

ALBUM: Sebahagian media yang menerima anugerah penghargaan merakamkan gambar kenangan bersama Arifin dan tetamu kehormat lain sempena majlis itu.

KOTA KINABALU: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif meminta umat Islam di negeri ini supaya merujuk dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sekiranya keliru dengan isu halalan toyyiban.

Jelas beliau perkara itu tidaklah sukar seperti yang didakwa kerana kebanyakan kedai di Sabah memiliki sijil halal.


Pada masa sama, Arifin turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam memberikan komen terutama membabitkan sensitiviti umat Islam di negeri ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan.


“Tidak susah sebenarnya, kecuali kita merasa susah, jadi susah lah itu. Kalau banyak sudah logo halal, ertinya ada lah halal di sini (Sabah). Jadi kita perlu hati-hati dalam hal ini.


“Apa-apa masalah, apa-apa kekeliruan, kita rujuk dengan MUIS, JHEAINS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pagi tadi.

Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan berkata, terdapat satu jawatankuasa yang dipengerusikannya iaitu, Jawatankuasa Majlis Halal Hub selain MUIS Halal Hub dengan kerjasama JAKIM dalam usaha memperkasa aspek halalan toyyiban di Sabah.


“Salah satu fokus kita pada tahun ini ialah memperkasa halal. Sebelum ini juga kita perkukuhkan. Beratus sijil halal yang telah dikeluarkan sijil logo JAKIM dan kita sentiasa memperkasa perkara ini, ” katanya.


Baru-baru ini tular di media sosial berhubung sebuah video yang menunjukkan seorang individu berpewatakkan alim dan memakan serban telah mendakwa sukar mencari makanan yang halalan toyibban di Sabah.


Individu dalam video itu menegaskan bahawa, mencari makanan yang halalan toyyiban bukanlah tugas yang mudah, terutamanya di kedai-kedai makan.


Menurut pemuda itu, kebanyakan pekerja di kedai makan tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat.


Bahkan, beliau mendakwa majoriti mereka tidak menggunakan produk yang halalan toyibban dan produk-produk itu pula dikilangkan daripada kilang pengeluar bukan Muslim sekaligus menjadi sukar untuk mencari makanan yang halalan toyyiba.


Pada majlis itu, Arifin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kira-kira 20 pengamal media atas usaha dan dedikasi yang diberikan sebelum ini terutama dalam menguar-uarkan program dan bantuan kerajaan melalui kementerian itu.
 

–Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment