Home » Puaka politik awal tahun
Politik Sudut Pandangan

Puaka politik awal tahun

UMNO dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka akan bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

SEPERTI gerakan menumbangkan kerajaan di luar pilihan raya yang bermula sekian lama, ada yang berjaya ada yang tidak.

Gerakan terbaharu yang dipanggil puaka politik awal tahun bermula pada Januari 2023 di Sabah menerusi Langkah Kinabalu, dan berulang lagi awal tahun ini di peringkat Persekutuan menerusi Langkah Dubai, yang mana kedua-duanya berakhir dengan kegagalan. Beza antara dua gerakan itu adalah Langkah Kinabalu adalah langkah nyata, manakala langkah Dubai fiksi atau fantasi.

Selepas ini sehingga PRU16 peringkat Parlimen, besar kemungkinan tiada lagi langkah puaka awal tahun menjatuhkan kerajaan, kerana mereka yang berhasrat mendapat mandat rakyat atau jawatan Perdana Menteri membuat keputusan menunggu Pilihan Raya Umum akan datang.

Sementara menunggu PRU16 akan datang, dicelah-celah penggal akan ada pilihan raya negeri membabitkan Negeri Sabah iaitu pada suku ke-4 tahun 2025.

Jangka masa itu kurang daripada 2 tahun. Tempoh masa dua tahun bukannya panjang dan hanya cukup-cukup bagi parti-parti yang berhasrat menyertai mempersiapkan parti masing-masing.

Dalam menuju PRN itu, hangat diperkatakan, dua parti yang cuba mendapat mandat rakyat iaitu Umno Sabah dan Warisan akan bekerjasama, kerana menurut pandangan pemimpin dua parti itu, hanya menerusi kerjasama dua parti itu dapat bersaing dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama PH Plus.

Dari segi kepimpinan, penulis berpendapat BN ataupun Warisan tidak mampu memberi kepimpinan alternatif pada barisan kepimpinan GRS yang dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor (atas)

Di atas kertas teorinya demikian, akan tetapi di dunia nyata tidak semestinya.

Kedudukan Umno Sabah dan Warisan tidak seperti sebelum ini, mempunyai kemampuan menjelajah pelosok negeri, kerana mempunyai sumber kewangan yang besar, akan tetapi, pada situasi semasa, kekangan kewangan menjadi halangan besar bagi dua parti itu bergerak, malah gerakan hanya bergantung pada pemimpin setempat parti itu.

Tradisi Umno yang juga diwarisi Warisan yang suka berbelanja sakan pada mana-mana majlis anjuran parti itu di masa lalu tidak dapat diulangi, dan ianya menjadi kejutan “budaya” bagi kedua-kedua parti itu di mata akar umbi. Kerana “kejutan kebiasaan” itu, maka ramai pihak melihat bahawa dua parti itu tidak lagi relevan di mata rakyat Sabah.

Tidak mudah bagi parti yang mempunyai tag mewah kemudiannya bertukar kedekut, mempertahankan penyokong yang pernah menyokong, kerana penyokong juga berubah selera termasuk tawar hati.

Gejala tawar hati adalah faktor yang menyelebungi Umno Sabah dan Warisan, sebab itu penulis berani memberi pandangan, bahawa dua parti itu, adalah parti matahari terbenam atau dengan kata lain parti hidup segan mati tak mahu.

Bukan mudah bagi parti yang telah ditolak rakyat untuk bangkit. Rekod parti-parti yang ditolak rakyat kalaupun ada yang pernah bangkit terhad pada satu dua parti di seluruh dunia.

Jika pemimpin Umno Sabah dan Warisan beranggapan bahawa dua parti itu boleh bangkit pada PRN17 Sabah adalah satu tanda tanya besar, daripada segi apa atau keistimewahan apa rakyat Sabah memberi mandat.
Dari segi kepimpinan, dua parti itu tidak dapat memberi kepimpinan alternatif pada barisan kepimpinan GRS yang dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan barisan kepimpinan komponen parti gabungan tersebut.

Ertinya, penyertaan dua parti itu dalam PRN17 Sabah hanya meraikan pesta demokrasi, dan tentunya rakyat memberi mandat pada barisan kepimpinan dan parti yang terbukti memberi manfaat pada mereka.

Rakyat Sabah telah tahu memilih mana intan mana kaca, tidak seperti mana masa lalu yang boleh terpancing atau terpengaruh dengan isu-isu nostalgia.

Perubahan demografi, perubahan komposisi pengundi terutama pengelibatan undi kali pertama dan undi18, adalah faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, maknanya, parti atau pemimpin yang “deliver” sahaja yang diambilkira oleh sebahagian besar pengundi.Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment