Home » WEF: Jurang ketidaksamaan siber, teknologi pesat membangun risiko utama keselamatan siber pada 2024
Berita Am Berita Dalam Negara

WEF: Jurang ketidaksamaan siber, teknologi pesat membangun risiko utama keselamatan siber pada 2024

Kira-kira separuh daripada pakar keselamatan siber bersetuju bahawa teknologi janaan AI akan memberi impak ketara terhadap keselamatan siber dalam tempoh dua tahun akan datang. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR:
Jurang ketidaksamaan siber yang ketara dan kemunculan teknologi pesat membangun seperti kecerdasan buatan (AI), merupakan risiko utama keselamatan siber pada tahun hadapan, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Laporan Global Cybersecurity Outlook 2024 yang diterbitkan oleh WEF pada Khamis dengan itu menggesa kerjasama bersepadu merentas sempadan dan industri bagi memerangi ancaman yang saling berkaitan serta membina persekitaran yang berdaya tahan, memandangkan landskap ancaman siber yang semakin kompleks.

“Seiring dengan perkembangan dunia siber, ditambah dengan teknologi pesat membangun dan peralihan geopolitik serta ekonomi, begitu juga cabaran yang mengancam dunia digital kita.

“Tindakan yang diselaraskan oleh pihak berkepentingan awam-swasta adalah perlu jika kita ingin menangani ancaman yang kompleks dan sentiasa berkembang ini secara kolektif dan membina masa depan digital yang selamat untuk semua,” kata Pengarah Urusan WEF Jeremy Jurgens.

Menurut laporan itu, jurang yang semakin ketara antara organisasi yang berdaya tahan dalam teknologi siber dan mereka yang sedang bergelut, telah muncul sebagai risiko utama untuk 2024, dengan bilangan organisasi yang mengekalkan daya tahan siber pada tahap minimum turun 30 peratus berbanding tahun lepas.

Berbanding organisasi besar yang menunjukkan peningkatan ketara mereka dalam daya tahan siber, perusahaan syarikat kecil dan sederhana pula menunjukkan penurunan yang ketara, katanya.

“Ketidaksamaan yang semakin ketara ini didorong oleh trend makroekonomi, peraturan dalam industri, dan, yang penting, penerapan awal teknologi canggih oleh sesetengah organisasi,” katanya.

Laporan itu turut menyatakan kekurangan tenaga kerja yang menguasai kemahiran dalam teknologi siber terus menunjukkan kadar yang membimbangkan.

“Hanya 15 peratus daripada organisasi optimis terhadap peningkatan kemahiran siber dan pendidikan dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Laporan itu juga menekankan bahawa untuk teknologi pesat membangun, kurang daripada satu daripada 10 responden percaya bahawa teknologi janaan AI akan memberi kelebihan kepada mangsa berbanding penyerang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Kira-kira separuh daripada pakar keselamatan siber pula bersetuju bahawa teknologi janaan AI akan memberi impak ketara terhadap keselamatan siber dalam tempoh dua tahun akan datang, kata laporan itu.

“Peningkatannya (ancaman) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar berikutan cabaran yang semakin teruk, dengan kira-kira separuh daripada eksekutif mengatakan bahawa kemajuan yang didorong oleh AI, yang mengupayakan jenayah siber (pancingan data, perisian hasad, video yang dimanipulasi) merupakan kesan AI yang paling membimbangkan pada keselamatan siber,” kata laporan itu.

WEF melakukan kaji selidik terhadap 204 peserta dari 49 negara, dengan 199 peserta yang layak terlibat sepenuhnya dalam tinjauan itu.

— BERNAMA

AWANI