Home » Korea Selatan keluar larangan perjalanan ke kawasan ‘segi tiga emas’ di Laos
Berita Am Berita Luar Negara

Korea Selatan keluar larangan perjalanan ke kawasan ‘segi tiga emas’ di Laos

Korea Selatan juga memutuskan untuk melanjutkan larangan perjalanan selama enam bulan lagi ke atas lapan negara dan enam wilayah dengan alasan risiko keganasan dan keselamatan. – Gambar fail

SEOUL: Korea Selatan memutuskan untuk melarang rakyatnya mengunjungi kawasan “segi tiga emas” di Laos mulai bulan depan, menurut Kementerian Luar Korea Selatan pada Khamis.

Amaran perjalanan Tahap 4 iaitu tahap tertinggi dalam sistem nasihat perjalanan empat peringkat itu akan berkuat kuasa pada 1 Feb, lapor Agensi Berita Yonhap.

Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas yang terletak di sepanjang Sungai Mekong di wilayah Bokeo di Laos dilaporkan terkenal dengan aktiviti haram seperti pemerdagangan orang dan penipuan.

Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan diambil memandangkan rakyat Korea Selatan turut menjadi sasaran walaupun amaran Tahap 3 telah dikeluarkan untuk wilayah itu sejak 24 Nov.

Modus operandi jenayah itu dengan memikat mangsa untuk bekerja di sebuah syarikat tempatan dan memaksa mereka terlibat dalam penipuan pancing data suara, pelacuran atau aktiviti haram lain dan kemudian menahan mangsa serta menyerang secara fizikal jika enggan berbuat demikian, menurut Yonhap.

Korea Selatan juga memutuskan untuk melanjutkan larangan perjalanan selama enam bulan lagi ke atas lapan negara dan enam wilayah dengan alasan risiko keganasan dan keselamatan.

Lapan negara dan enam wilayah itu ialah Somalia, Afghanistan, Iraq, Yaman, Syria, Libya, Ukraine dan Sudan serta beberapa bahagian Filipina, Rusia, Belarus, Gaza, Myanmar dan kawasan sempadan antara Armenia dan Azerbaijan.

Larangan yang pada awalnya dijadualkan berakhir 31 Jan itu akan dilanjutkan hingga 31 Julai. — BERNAMA

AWANI