Home » Statistik kes mental di Sabah antara yang tertinggi
Berita Tempatan

Statistik kes mental di Sabah antara yang tertinggi

RASMI: Asits memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.

TAWAU: Sabah antara negeri yang merekodkan prevalens kemurungan tertinggi di negara ini iaitu sebanyak empat peratus pada tahun lepas.    


Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr. Asits Sanna berkata, jumlah itu adalah berdasarkan saringan kesihatan mental yang dijalankan di negeri ini.


Katanya, saringan yang dilakukan terhadap 40,522 individu menunjukkan hasilnya sebanyak 107 orang dirujuk kepada pakar.


“Daripada lebih 40,000 individu terbabit, ada yang dikenal pasti mengalami tekanan, keresahan dan kemurungan.


“Justeru, pihak JKNS mengambil inisiatif melaksana pelbagai program untuk menangani, mengurangkan dan mencegah masalah mental di negeri ini,” katanya.      


Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2022 di Lobi Klinik Kesihatan Tawau, di sini hari ini.


Asits berkata, antara inisiatif tersebut termasuklah mengadakan program saringan mental di kampung-kampung, program bual bicara, promosi kesihatan mental di sekolah dan perkhidmatan Talian Bantuan Sokongan Psikososial (MPHSS).

CENDERA KENANGAN: Asits (kanan) menerima cendera kenangan daripada Shameer.

Menurutnya, perkhidmatan MPHSS ini boleh dilaksanakan samada secara bersemuka ataupun online kerana kita ada pasukan di seluruh negeri.


“MPHSS secara online sudah diaktifkan pada tahun 2020 lagi iaitu sebanyak 12 talian dan ia telah ditambah kepada 16 talian pada 2021.


“Masyarakat di negeri ini boleh menggunakan talian ini untuk dapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan masalah mental,” katanya.


Katanya, data MPHSS yang dimulakan sejak Mac 2020 menunjukkan hampir 75 peratus daripada keseluruhan panggilan diterima adalah dalam kalangan individu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling disebabkan pelbagai faktor.


Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis; Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit NCD JKNS, Dr Nirmal Kaur dan Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman.

Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment