Home » Gagasan Rakyat gesa dalang fitnah anak Ketua Menteri disiasat
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat gesa dalang fitnah anak Ketua Menteri disiasat

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jaman jelas mempunyai akal yang cetek kerana berbicara sedemikian sehingga sanggup melabelkan pihak lain demi kepentingan politiknya yang jelas terpesong dan bertentangan dengan akidah.

KOTA KINABALU: Polis digesa supaya mengambil tindakan terhadap dalang yang memfitnah kononnya anak Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terlibat dengan kartel dadah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan pihak tidak bertanggungjawab itu jelas cuba mengaibkan diri Ketua Menteri.

Katanya, paparan dalam media sosial itu bukan hanya setakat palsu, tetapi ia juga satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Kenyataan itu secara terang-terangan membuat tuduhan liar bertujuan cuba mencemarkan nama baik keluarga Ketua Menteri.

“Tindakan jijik ini bukan sahaja dilihat mahu menjejaskan imej Ketua Menteri, malah ia cuba menjatuhkan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh beliau,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mungkinkah taktik kotor ini didalangi oleh pihak yang sebelum ini cuba menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui GRS sebagai modal politik mereka?

Nizam berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab ini harus ingat rakyat kini bijak menilai dan sudah pasti akan menolak pemimpin yang menggunakan taktik kotor dengan cara menyebarkan fitnah.

“Saya berharap laporan polis yang telah dibuat oleh Mohd Reza Hajiji di Tuaran itu membolehkan siasatan dijalankan supaya dalangnya dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment