Home » Apakah PRN17 Sabah semakin dekat?
Politik Sudut Pandangan

Apakah PRN17 Sabah semakin dekat?

Apabila DUN dibubar, maka menjadikan semua kerusi DUN tidak bertuan, ertinya setiap kawasan terbuka untuk dimenangi.

MELIHAT gelagat pemimpin kerajaan nampaknya dalam persiapan akhir menuju PRN17, walaupun penggal DUN ke-16 Sabah hanya matang pada Oktober 2025.

Kekerapan adanya majlis-majlis rasmi merata tempat adalah indikasi persiapan akhir untuk mengadakan pilihan raya.

Bulan Ramadhan yang menjelang tiba juga akan digunakan untuk mengukur sejauh mana kekuatan, kerana bulan itu bakal digunakan para pemimpin untuk solat tarawih dari daerah ke daerah.

Bulan suci itu bukan lah medan berpolitik, akan tetapi yang diukur bagai mana respon masyarakat/rakyat dengan kehadiran pemimpin yang turut sama solat tarawih.

Selepas Ramdhan menyusul pula bulan pesta kaamatan yang berlangsung selama sebulan.

Menerusi dua peristiwa itu, setidak-tidaknya, para pemimpin dapat melihat sejauh mana sambutan rakyat, kerana sambutan adalah indikasi pada sokongan.

Jika ada pengamat politik meramalkan bahawa PRN17 akan diadakan pada tahun ini semuanya bergantung sejauh mana para pemimpin parti politik yang menerajui kerajaan hari ini menilai keaadaan. Jika keadaan adalah positif kemungkinan PRN17 diadakan pada hujung tahun atau awal tahun 2025.

Pada hakikatnya kerajaan GRS-PH Plus wajar menunggu sehingga penggal ke-16 tamat, kerana kerajaan bukan sahaja stabil akan tetapi kukuh. Namun, spin doctor, pemimpin pembangkang sentiasa menjual pada rakyat bahawa kerajaan ini bukan lah kerajaan yang diberi mandat dalam pilihan raya, akan tetapi kerajaan yang disokong oleh wakil-wakil rakyat yang berlainan parti.

Parti yang diberi mandat rakyat pada PRN16 Sabah adalah GRS-BN, namun sebahagian besar ADUN BN yang diketuai Datuk Bung Moktar Radin telah keluar pada 6 Januari 2023 untuk menjadi pembangkang.

Untuk memadamkan dakyah pembangkang itu dan tidak menimbulkan persepsi negatif pada parti-part yang menerajui kerajaan, maka ada baiknya diadakan pilihan raya awal untuk memastikan parti yang diberi mandat oleh rakyat.

Melihat senario terkini politik Sabah, masa-masa ini, adalah masa yang sesuai diadakan pilihan raya, memandangkan isu-isu yang membelengu rakyat seperti isu bekalan air bersih, bekalan letrik, jalan-jalan raya, sedang ditangani dengan baik oleh kerajaan, dan hanya menunggu masa, apabila semua projek itu siap, rungutan rakyat akan diselesaikan.

Selain itu, pelaksanaan subsidi bersasar yang bakal dilancar pada Mac atau Jun, akan dirasai sebahagian rakyat Sabah, dan tentunya lebih baik berbanding sebelumnya, kerana menerusi mekanisme baharu itu, subsidi disadarkan pada pendapatan boleh guna.

Juga bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diawalkan, merupakan faktor positif pada kerajaan.

Apabila banyak faktor positif yang menybelahi kerajaan, maka masa itu masa yang sesuai mengadakan pilihan raya, seperti kata bekas Naib Presiden Indonesia, Tun Adam Malik, ketuk lah besi selagi panas. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment