Home » STB sasar kerjasama mampan dengan Kementerian Ekonomi
Berita Tempatan Politik

STB sasar kerjasama mampan dengan Kementerian Ekonomi

KENANGAN: Hanifah dan Joniston bersama delegasi Kementerian Ekonomi merakamkan kenangan semasa lawatan itu.

KIULU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berhasrat menjalin kerjasama mampan dengan Kementerian Ekonomi selaras dengan visi untuk membangunkan secara menyeluruh pelancongan luar bandar di Sabah.

Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak sebagai pemangkin pemerkasaan ekonomi dalam kalangan komuniti luar bandar untuk mengurangkan kemiskinan.

Katanya, STB turut berharap diberi peluang untuk membentangkan rancangan pelancongan luar bandar yang komprehensif kepada pihak Kementerian Ekonomi bagi menyelaraskan strategi untuk impak maksimum.

LAWATAN: Joniston (kiri) menerangkan kepada Hanifah (tiga kanan) mengenai inisiatif pelancongan berasaskan komuniti dan sistem tagal di Kampung Poturidong Kiulu.

“Dengan tumpuan terhadap memupuk amalan lestari, sebarang inisiatif kerjasama dengan kementerian berkenaan bertujuan mewujudkan situasi menang-menang dengan mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab.

“Usaha yang dibuat ini juga mampu menambah baik landskap sosioekonomi di negeri ini,” katanya ketika mengiringi Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib melawat Kampung Poturidong Kiulu di sini semalam.

Lawatan berkenaan turut disertai kira-kira 30 peserta Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diadakan di Kota Kinabalu.

Program itu bagi melihat sendiri potensi pelancongan berasaskan komuniti serta eko-pelancongan tagal dalam memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar.

Dalam perbincangannya dengan Joniston, Hanifah kagum dengan sistem tagal dan mengakui potensinya sebagai tarikan pelancong yang penting.

Beliau turut menekankan keperluan untuk Sabah memanfaatkan keunikan tarikan pelancongan termasuk sistem tagal, keindahan alam semula jadi dan sungai yang terpelihara sebagai contoh utama.

Pihaknya turut bersetuju mengenai keperluan untuk menambah baik kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung demi kepentingan pelancongan luar bandar.

Pada masa sama, beliau akan melihat usaha untuk membolehkan  kementerian memainkan peranan dalam membangunkan lagi pelancongan luar bandar di Sabah.

Sempena dengan lawatan itu, Hanifah turut meninjau perkembangan pembinaan jambatan yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk dari beberapa kampung setelah ia siap.

— Siti Aisyah Narudin