Home » Kontraktor diarah percepat pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 atasi gangguan bekalan air di Papar
Berita Tempatan

Kontraktor diarah percepat pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 atasi gangguan bekalan air di Papar

PAPAR : Isu gangguan bekalan air di daerah ini dijangka dapat diselesaikan apabila kontraktor diarah mempercepatkan pembinaan loji rawatan air terlebih dahulu dalam Projek Rawatan Air (LRA) Fasa 2 Kogopon dengan tempoh setahun lima bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jangkaan itu berdasarkan pencapaian kemajuan 4.84 peratus iaitu 2.29 peratus lebih awal daripada jadual bagi projek Naik Taraf LRA Fasa 2 yang bernilai RM365 juta.

Katanya sepatutnya pada Januari ini, sasaran projek ialah 2.55 peratus tetapi kontraktor berjaya mencapai status kemajuan 4.84 peratus, lebih awal daripada jadual.

“Dalam taklimat tadi, projek ini akan siap dalam masa tiga tahun, jadi maksudnya tiga tahun lagi isu akan berlarutan tetapi kita telah bincangkan macam mana kalau projek ini boleh difokuskan untuk siapkan dahulu pelan LRA Fasa 2, the rest piping, kuarters dan sebagainya boleh dibuat kemudian.

“Ini kerana apabila siap loji ini rawatan air daripada kapasiti 40 juta liter air rawatan sehari kepada 80 juta liter sehari, ia boleh salurkan air kepada sistem perpaipan sedia ada dan boleh menyelesaikan water stress isu di kawasan-kawasan tertentu.

“Jadi kita usahakan kontraktor bagi komitmen dua tahun loji tu siap tetapi saya telah meminta setahun lima bulan siapkan dahulu fasa pertama jadi kita boleh dapatkan Certificate of Physical Completion (CPC) untuk water distribution,” dedah beliau.

Beliau ditemui media selepas melawat dan meninjau status kemajuan Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2 di sini, semalam.

Lawatan kali keempat itu disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Setiausaha Politik Kepada Amrizan Mohammad Ghazali Hajiji, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah dan Pengarah Jabatan Air Sabah Suhaimi Asbullah.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), isu menyelesaikan gangguan bekalan air menjadi keutamaan dan meletakkan projek LRA Fasa 2 sebagai projek kecemasan yang perlu disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata LRA Kogopon ini boleh dianggap projek kecemasan, kerana rakyat terkesan sudah sekian lama berhadapan isu gangguan bekalan air dan ada ketikanya di sesuatu kawasan bekalan air langsung tiada hingga seminggu.

Menurutnya ada tempat yang sehingga kini rakyat rakyat sepanjang masa berhadapan dengan catuan air dan ada juga kawasan perumahan hingga berbelas tingkat seperti Perumahan Puncak Gloxinia di Kinarut, rakyat di kawasan tingkat atas tidak mempunyai bekalan air berminggu-minggu.

“Di bawah pentadbiran Kerajaan GRS, isu menyelesaikan gangguan bekalan air menjadi keutamaan. Itu sebabnya Ketua Menteri telah mengarahkan proses perolehan disegerakan tahun lalu supaya projek boleh mula dilaksana.

“Sejak Ogos 2023, kontraktor telah dilantik. Maka, kerja-kerja perlu dilaksanakan segera mengikut jadual dan jangan ada kelewatan.

“Saya bersama ADUN Kawang dan ADUN Limbahau akan pantau projek ini secara dekat. Setelah empat kali melawat loji ini, saya akan datang lagi setiap tiga bulan untuk pantau status kemajuan projek ini,” jelas beliau.

Tambahnya, projek berkenaan bukan sahaja untuk menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Parlimen Papar malah liputannya termasuk kawasan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) Kimanis, Lok Kawi dan Selatan Putatan.

Reka bentuk naik taraf LRA ini telah siap sejak tahun 2011, selepas unjuran keperluan air di Papar dan kawasan sekitar oleh Jabatan Air Sabah mendapati wujud keperluan naik taraf LRA yang ketika ini mempunyai kapasiti merawat 40 juta liter air sehari.

Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2 telah dimasukkan dalam perancangan projek kerajaan dengan meningkatkan kapasiti rawatan sekali ganda daripada 40 juta liter air sehari kepada 80 juta liter air sehari.

Projek terbabit telah dijadualkan bermula pada tahun 2019, melalui RP4 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tetapi malangnya tidak dilaksanakan ekoran perubahan kerajaan negeri dan persekutuan.

Setelah beberapa siri libat urus dan atas komitmen kerajaan negeri dan persekutuan, kontraktor dilantik pada 14 Ogos 2023 dan dijadualkan siap pada 14 Ogos 2026 yang mana majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah pada 25 Ogos tahun lepas.

SNT