Home » Apa yang penting bagi kami ialah semua hak kita dikembalikan – Jeffrey
Berita Tempatan Politik

Apa yang penting bagi kami ialah semua hak kita dikembalikan – Jeffrey

Jeffrey (kanan) berkata, pemimpin GRS sudah serik dengan situasi rakyat Sabah dipecah dan diperintah oleh kuasa persekutuan dan memutuskan masanya sudah tiba untuk bersama-sama menjadikan Sabah dan rakyat Sabah sebagai kuasa yang disegani.

TENOM: Rakyat Sabah mempunyai kuasa untuk memusnahkan politik pecah-dan-perintah yang mereka deritai selama beberapa dekad.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku (StarSabah) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ini kerana Sabah telah memasuki era politik yang hebat di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang telah membawa kepada perpaduan kukuh.

Jeffrey berkata, pemimpin GRS sudah serik dengan situasi rakyat Sabah dipecah dan diperintah oleh kuasa persekutuan dan memutuskan masanya sudah tiba untuk bersama-sama menjadikan Sabah dan rakyat Sabah sebagai kuasa yang disegani.

“Kita telah melihat perubahan dalam politik hari ini. Untuk sekian lama, kita dibahagikan dan dicincang supaya kerajaan persekutuan boleh memerintah kita dan membuat keputusan untuk kita.

“Ia mengambil masa kira-kira 50 tahun untuk kita menyedari perkara ini dan sepanjang tempoh itu, kita sudah banyak membazir,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Jelajah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di sini, Sabtu.

Jeffrey berkata hakikat bahawa GRS telah berjaya membawa rakan dan seteru politik lama di bawah naungannya membuktikan pemimpin Sabah dalam gabungan itu kini menghargai perpaduan sebagai sumber kuasa Sabah.

Beliau berkata, dengan kuasa yang datang daripada perpaduan politik Sabah, kerajaan GRS akan menjadi kuasa politik yang boleh mengatasi kuasa dari Kuala Lumpur.

“Kami, di bawah GRS, di Sabah tidak kisah siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting bagi kami ialah semua hak kita dikembalikan,” katanya.Beliau memberi amaran bahawa jika Sabah, salah satu negeri termiskin di negara ini, terus berpecah dan tidak bersatu dari segi politik, negeri itu akan terus tenggelam dalam kemiskinan.

Beliau berkata Sabah sudah jauh ketinggalan di belakang jirannya di Borneo, Sarawak, dari segi pembangunan.“Semua ini kerana kita tidak bersatu,” tambahnya.

Bagaimanapun, Jeffrey mengingatkan bahawa Sabah masih menempuh perjalanan jauh untuk menjadi sebuah wilayah yang hebat di negara ini dan tidak boleh membiarkan dirinya terpesong perhatian akibat pelbagai jenis gangguan.

Beliau juga memberi amaran kepada rakyat terhadap parti pembangkang yang mendakwa memperjuangkan hak Sabah dan perpaduan Sabah, namun sebenarnya tidak.

Dia menyebut sebuah parti tidak dinamakan yang didakwanya menipu rakyat Sabah untuk mempercayai bahawa mereka adalah parti tempatan yang memperjuangkan Sabah.

“Setiap rakyat Sabah tahu kebenaran pahit bahawa mereka berada di bawah politik pecah-dan-perintah selama beberapa dekad.

“GRS akhirnya telah menyelesaikan kebuntuan ini dan menghasilkan formula dengan membawa pemimpin bersama-sama dengan satu tujuan saja: Perpaduan sebagai sumber kuasa.

“Bukan mudah untuk membawa kawan dan seteru politik bersama. Tetapi GRS telah melakukannya. Dan kerana mereka bersatu, mereka kuat. Inilah yang diingini oleh rakyat Sabah selama ini. Kini tiba masanya untuk menunjukkan bahawa kita tidak akan diperintah lagi.

“Pembangkang juga menggunakan naratif politik ini. Tetapi orang tahu mereka akan sentiasa tunduk kepada tuan persekutuan mereka. Dan mereka tidak mempunyai perpaduan yang betul dalam kepelbagaian dalam parti mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, pengerusi penganjur Datuk Rubin Balang dan presiden parti GRS yang lain.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment