Home » GRS perlu bersatu, hormati semua rakan komponen
Berita Tempatan Politik

GRS perlu bersatu, hormati semua rakan komponen

Hassan berkata demikian ketika ditemui dalam Siri Jelajah Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sebatik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamang dan Sebatik, di sini semalam.

TAWAU: Pemimpin akar umbi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sebatik diminta supaya sentiasa menghormati semua rakan dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di daerah ini.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik, Datuk Hassan A. Ghani Pg. Amir berkata, semua parti komponen GRS perlu sentiasa bersatu padu supaya kekal memerintah dan terus relevan di negeri ini.

Katanya, dalam kita ghairah mencari ahli dan menubuhkan cawangan baharu, jangan sesekali mengambil ahli daripada parti komponen GRS yang lain.

“Saya ingin menasihatkan semua ketua cawangan Gagasan Rakyat di Sebatik supaya jangan cuba mengeruhkan dan merosakkan hubungan dengan parti-parti dalam komponen GRS yang lain.

“Walaupun Gagasan Rakyat perlu menambah cawangan dan ahli bagi memperkukuhkan lagi parti, tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul dan telus,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik berkata demikian ketika berucap dalam Siri Jelajah Gagasan Rakyat Sebatik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamang dan Sebatik, di sini semalam.

Menurutnya, semua pemimpin akar umbi Gagasan Rakyat Sebatik turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memberi penjelasan mengenai GRS.

“Kita tidak mahu penjelasan yang kurang tepat boleh mengundang perselisihan antara rakan sekutu lain kerana ia akan memberi imej tidak baik kepada parti.

“Sebab itu siri jelajah fasa pertama ini antara lain bertujuan memberikan penjelasan mengenai Gagasan Rakyat dan GRS kepada semua ketua-ketua cawangan yang ada,” katanya.

Hassan juga menggesa kepada semua pemimpin dalam komponen GRS di daerah ini supaya turut menghormati Gagasan Rakyat terutamanya ketika mengambil ahli baharu.

“Kita tidak mahu mereka cuba menghasut dan mengambil ahli dalam Gagasan Rakyat, sebagai satu semangat setiakawan dalam komponen GRS.

“Saya ingin tegaskan, apabila mencari ahli atau menubuhkan cawangan perlu dilakukan secara berhemah dan jangan menyinggung perasaan rakan kita dalam GRS,” katanya.

AHLI: Hassan (empat kanan) ketika menerima borang kemasukan ahli baharu seramai 30 orang di pulau berkenaan.

Beliau berkata, semua pemimpin Gagasan Rakyat di daerah ini juga diminta supaya berhenti memburukkan parti lain.

“Lebih baik fokus untuk memperkenalkan parti kita dan dalam masa yang sama berjuang supaya dapat membela rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, semua ketua cawangan yang ada dalam Gagasan Rakyat Sebatik perlu berperanan menyampaikan semua dasar-dasar kerajaan negeri.

“Menjadi pemimpin dalam parti bukan hanya untuk popular, tetapi memerlukan pengorbanan supaya rakyat menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Sebab itu, saya sentiasa tekankan bahawa semua ketua cawangan dan ahli Gagasan Rakyat supaya komited melaksanakan tugas demi rakyat di sesuatu kawasan,” katanya.

— Hamzah Sanudin