Home » Komuniti Kiulu rancang amalkan sistem tagal hutan
Berita Tempatan

Komuniti Kiulu rancang amalkan sistem tagal hutan

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai meninjau pameran replika haiwan liar di Kiulu Rainforest Park.

TUARAN: Komuniti Kiulu, di sini dalam usaha mengkaji bagi melaksanakan ‘tagal’ hutan sebagai sebahagian daripada usaha memelihara flora dan fauna.

Idea diketengahkan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai itu, dilaksanakan berikutan kejayaan sungai ‘tagal’ yang juga satu inisiatif untuk mengawal tangkapan ikan sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu itu berkata, penggunaan konsep tagal dalam kalangan masyarakat di hutan adalah langkah terbaik untuk menunjukkan dedikasi berterusan terhadap pemeliharaan alam sekitar termasuk habitat haiwan liar.

“Tumbuhan semula jadi dan haiwan di Kiulu menjadikan destinasi ini popular sebagai eko-pelancongan.

“Usaha ini juga bakal memberi peluang kepada penduduk tempatan dengan menjadikan kampung mereka sebagai kawasan tumpuan pengunjung selain menghargai persekitaran semula jadi mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Taklimat Dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) di Kiulu Rainforest Park, Kampung Logkou Lama, Kiulu, Jumaat.

Joniston berkata, beliau memahami kegiatan penduduk tempatan yang memburu haiwan sejak dahulu namun beliau percaya tindakan mengawal pemburuan spesies liar tertentu seperti rusa berpeluang menjadi tarikan pengunjung.

“Walaupun sistem tagal sedia ada cuba mengehadkan penggunaan sumber air tawar, saya berpendapat pendekatan sama perlu dilaksanakan di dalam hutan di kawasan komuniti bagi memastikan ia bebas daripada aktiviti memburu untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, penduduk tempatan di Kampung Poturidong juga melihat jejak haiwan yang banyak di laluan mendaki bukit yang mana turut mendorong mereka untuk mempertimbangkan mewujudkan hutan tagal.

“Persekitaran semula jadi di Kiulu mempunyai nilai yang luar biasa kerana ia terletak dalam zon peralihan RBBC dan ia menjadi tarikan bagi pengembara yang menghargai menerokai hutan tropika.

”Pelbagai program dianjurkan Taman-Taman Sabah merupakan usaha berterusan dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran secara berterusan khususnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Sebelum ini, program RBBC turut diadakan di peringkat daerah Tuaran pada Februari 2020 lalu di Dewan Masyarakat Kiulu.

Program kali ini disasarkan kepada industri pelancongan Kiulu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjelaskan peranan program RBBC dalam konteks eko-pelancongan komuniti.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar dan Pengerusi Persatuan Pelancongan, Kiulu Mejin Moggingow.

R Gonzales