Home » Suri rumah edar dadah dipenjara seumur hidup
Berita Tempatan

Suri rumah edar dadah dipenjara seumur hidup

PADAH: Tertuduh diiring keluar untuk menjalani hukuman selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Suri rumah dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine, dua tahun lepas.

Siti Azizah Hasan, 35, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol kerana didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 128.9 gram di Dataran Palma, Bandar Lahad Datu kira-kira jam 1 petang, pada 17 Jun 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (B)(2) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh terlepas hukuman sebatan mengikut seksyen berkenaan memandangkan dia adalah wanita.

Tertuduh yang memegang dokumen IMM13 itu turut diperintah untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 17 Jun 2022.

Dalam penghakimannya, Duncan antara lain menyatakan mahkamah menjatuhkan hukuman tinggi bagi kes berkenaan selepas mengambil kira kes berkaitan dadah sangat berleluasa di Sabah.

Malah, katanya, setakat Januari tahun ini sahaja, Mahkamah Tinggi Tawau turut menerima tiga hingga empat kes didaftarkan.

Perbicaraan kes itu berlangsung tiga hari bermula 8 Januari lalu dengan enam saksi pendakwaan serta seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, manakala, tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

UB

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment