Home » Penjawat awam mengaku salah terima rasuah didenda RM2,000
Berita Tempatan

Penjawat awam mengaku salah terima rasuah didenda RM2,000

BERSALAH: Tertuduh keluar membayar denda berkenaan selepas prosiding mahkamah.

TAWAU: Seorang penjawat awam didenda RM2,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah menerima rasuah tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Pada 8 Febuari tahun lalu, tertuduh itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), akta yang sama. 

Bagaimanapun, mengikut pertuduhan alternatif kelmarin, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM1,200 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun.

Wang rasuah itu sebagai dorongan untuk melepaskan lori syarikat Sumbermas Trading yang disita kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Lahad Datu, jam 4.00 petang pada 28 Februari 2020.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, memohon hukuman setimpal keatas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain perbuatan tertuduh yang tidak amanah dan mengambil kesempatan serta mencemar nama baik JPJ.

Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh kerap berlaku di kalangan penjawat awam dan hukuman setimpal diharap dapat menjadi pengajaran kepada penjawat awam yang lain.

Bagaimanapun peguam Adward Paul yang mewakili tertuduh dalam mitigasinya memohon denda minimum memandangkan ia kesalahan pertama anak guamnya selain pengakuan bersalah menjimatkan kos dan masa mahkamah.

UB