Home » Pihak berkuasa tempatan digesa pastikan kelayakan penerima Projek Perumahan Rakyat
Berita Tempatan Politik

Pihak berkuasa tempatan digesa pastikan kelayakan penerima Projek Perumahan Rakyat

DR Joachim (kanan) menerima cenderahati daripada David.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih tegas dalam memastikan bantuan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak menerimanya.

Individu tidak berkelayakan yang menerima skim perumahan kos rendahitu  melalui cara yang meragukan telah menjadi isu berterusan, dengan sesetengahnya memperoleh unit tersebut melalui proksi manakala yang lain mendapat sehingga dua atau tiga unit dan menyewakannya.

“Ideanya ialah jika anda memohon unit PPR, maka anda harus tinggal di PPR itu kerana anda layak untuknya.

“Jika anda tidak mahu duduk atau tinggal di rumah PPR dan anda menyewakannya kepada orang lain, kami secara automatik akan membatalkan kelayakan anda untuk mendapatkan rumah itu.

“Saya meminta semua pihak berkuasa tempatan bertindak tegas dalam perkara ini kerana bilangan unit PPR sangat terhad. Katakan kita mempunyai kira-kira 2,000 unit, tetapi pemohon sehingga 10,000. Ini akan menjadi sangat tidak adil kepada mereka yang layak.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan bilik pameran Creative Lab yang baru diubah suai oleh Kumpulan Niro Ceramic di Kolombong, di sini, Rabu.

Sementara itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan industri pembinaan tempatan mengamalkan kelestarian hijau.

“Kami sebenarnya menggalakkan semua arkitek dan jurutera untuk mengamalkannya.

“Pada masa ini, Kerajaan Sabah tidak memaksa dan tidak akan mengenakan indeks atau formula, kami hanya menggalakkan mereka. Kita mahu mempunyai pelepasan karbon serendah mungkin,” katanya.

Mengenai bilik pameran baharu Kumpulan Niro Ceramic itu, Dr Joachim memuji kumpulan itu atas usaha mereka untuk mereka bentuk semula dengan cara yang mampan.

“Usaha anda untuk terus menyesuaikan diri dan menerima pakai idea baharu menunjukkan bahawa anda sentiasa berhubung dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

“Kebolehsuaian dan inovasi anda menjadi inspirasi untuk kita semua termasuk arkitek, pereka rumah dan pemilik rumah juga,” katanya sambil mengalu-alukan lebih banyak pelaburan daripada kumpulan itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan David Tan, Pengurus Besar Jualan Nasional, Go Kean Tat dan Presiden Majlis Bangunan Hijau Malaysia Ar Dr Serina Hijjas.

— TAMAT