Home » Insentif pengeluaran getah diaktifkan bagi Januari 2024
Berita Am Berita Dalam Negara

Insentif pengeluaran getah diaktifkan bagi Januari 2024

LGM berkata pekebun kecil layak menerima bayaran IPG bermula 1 hingga 29 Februari 2024. – Gambar fail/Reuters/Samsul Said

KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi pekebun kecil telah diaktifkan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berdasarkan pengeluaran Januari 2024, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).

LGM berkata ,IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di paras RM3.00 sekilogram atau ke bawah.

Harga purata di peringkat ladang bagi getah cuplump atau getah sekerap pada Januari 2024 ialah RM2.90 sekilogram bagi Semenanjung dan RM2.55 sekilogram bagi Sabah dan Sarawak. 

“Kadar bagi IPG lateks, ia juga akan teraktif apabila IPG getah cuplump teraktif. Kadar IPG lateks ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan 100 peratus Kandungan Getah Kering (KGK),” kata LGM dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Kadar IPG bagi getah cuplump dan lateks teraktif di Semenanjung pada 10 sen bagi 50 peratus KGK dan 20 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.

Sementara itu, kadar di Sabah pada 45 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.

Kadar di Sarawak adalah pada 45 sen sekilogram untuk 50 peratus KGK dan 90 sen sekilogram untuk 100 peratus KGK.

LGM berkata pekebun kecil layak menerima bayaran IPG bermula 1 hingga 29 Februari 2024.

Peningkatan Paras Harga Pengaktifan (PHP) yang baharu merupakan inisiatif kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2024. – BERNAMA

AWANI