Home » ’60 tahun merdeka, Sabah saja masih klinik kesihatan kayu’ – James
Berita Tempatan Politik

’60 tahun merdeka, Sabah saja masih klinik kesihatan kayu’ – James

James yang juga merupakan Exco Kesihatan berkata, keadaan bangunan klinik kesihatan yang daif di negeri ini bukan saja berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut boleh dilihat di kawasan bandar termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah menyasarkan 100 klinik kesihatan diperbuat daripada kayu di negeri ini digantikan dengan bangunan konkrit dalam tempoh dua tahun.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, keadaan klinik kesihatan di negeri ini amat memalukan Sabah sedangkan di negeri lain sudah digantikan dengan bangunan konkrit yang baharu.

“Di Sabah ini hampir 100 klinik kesihatan yang diperbuat daripada kayu tetapi di Semenanjung, Sarawak sudah tidak ada (klinik kayu).

“Di Sabah saja yang ada, bukankah ini memalukan kita. Saya sendiri yang turun padang (lihat klinik kayu) dan kita akan diselesaikan pada tahun 2025.

“Kita mahu dalam tempoh dua tahun ini klinik kayu sifar di Sabah, tidak ada lagi klinik kayu. Semua bangunan konkrit macam di Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, di sini pada Isnin.

Jelasnya lagi, keadaan bangunan klinik kesihatan yang daif di negeri ini bukan saja berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut boleh dilihat di kawasan bandar termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Di bandar pun daif juga, lihat di Tuaran dan di Luyang bangunannya retak di sana sini. Itu di kawasan bandar, apa lagi di luar bandar. Ada yang tiada tangga, tiada tangki, jalan raya pun teruk.

“Kita saja memalukan, 60 tahun merdeka masih lagi klinik daif diperbuat daripada kayu dan bila saya bermesyuarat di kementerian di Putrajaya, Sabah saja banyak klinik kayu. Kadang-kadang saya tutup mata sebab malu,” katanya.

Tambah James lagi, disebabkan keadaan prasarana kesihatan yang disediakan di Sabah tidak dinaik taraf punca pegawai dan kakitangan kerajaan tidak mahu ditugaskan ke negeri ini.

“Sebab itu ramai pegawai kakitangan kerajaan dari Semenanjung dan Sarawak tidak mahu datang ke Sabah, kadang-kadang mereka hanya terpaksa datang ke sini. Sebab itu juga kita kekurangan doktor dan jururawat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan exco kesihatan negeri bertanggungjawab untuk untuk membawa perubahan dengan memberikan prasarana yang terbaik untuk rakyat di negeri ini. “Kalau saya tidak bertanggungjawab, kalau saya tidak berkerja, kalau saya tidak bersuara, hanya pandang saja buat apa saya jadi menteri,” katanya.

— ASYIKIN ASMIN

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment