Home » SESB buat laporan polis jenayah curi elektrik di Tawau
Berita Tempatan Politik

SESB buat laporan polis jenayah curi elektrik di Tawau

TINJAU: Madius dan Lo semasa membuat tinjauan bekalan elektrik di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas.

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah mencuri bekalan elektrik atau membuat penyambungan haram.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, terbaharu pihaknya telah membuat laporan polis terhadap perbuatan jenayah berkenaan yang didapati berleluasa selepas membuat tinjauan di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, di sini.

“Saya bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar telah mengadakan tinjauan di kampung itu pada Khamis lepas.

“Pada mulanya, tinjauan itu adalah bertujuan untuk melihat kesesuaian pelaksanaan ‘Independent Power Distributor’ (IPD) di kampung berkenaan.

Namun katanya, ketika berada di lokasi, kami melihat sambungan haram secara terang-terangan hampir di setiap rumah.

“Justeru, kita mengambil serius akan perbuatan jenayah ini dan satu laporan polis telah dibuat di balai polis Bombalai pada hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, penyambungan haram menyebabkan kerugian besar kepada SESB iaitu kira-kira RM183,156 sebulan di kampung ini sahaja.

Katanya, pada masa yang sama, aktiviti jenayah ini juga boleh mengakibatkan risiko kebakaran dan renjatan elektrik kepada orang awam.

“Sehubungan itu laporan itu dibuat bertujuan penyiasatan dan pendakwaan di pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan pihak polis.

“Saya juga memohon kepada orang ramai yang melihat perbuatan jenayah seumpama ini walau di mana sekali pun untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.

 Sambungan elektrik secara haram yang dilakukan oleh penduduk setinggan di Kampung Hidayat.
HARAM: Sambungan elektrik secara haram yang dilakukan oleh penduduk setinggan di Kampung Hidayat.

Menurutnya, perbuatan mencuri elektrik antara faktor penyebab gangguan bekalan tenaga di Sabah, justeru mari kita membanteras jenayah ini bersama-sama.

Terdahulu, walaupun baru memasuki bulan kelapan sebagai Pengerusi SESB, Madius telah mengadakan pendekatan mesra pengguna dengan mengambil cadangan dan pandangan melalui program dialog serta sesi bersama pemimpin masyarakat dan wakil-wakil rakyat.

Beliau juga kerap turun padang untuk melihat sendiri kepayahan penduduk di kawasan-kawasan yang menghadapi bekalan tenaga kritikal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran ini juga komited untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Sabah dengan memupuk budaya kerja 1 SESB 1 Tujuan.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment