Home » PKS Sabah diminta teruskan program outreach
Berita Tempatan Politik

PKS Sabah diminta teruskan program outreach

ALBUM: Joachim (tengah), Foo (dua kiri), Phoong (dua kanan) serta tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Perusahaan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah diminta terus melaksanakan program outreach khususnya kawasan luar dari bandaraya ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, usaha itu akan memberikan manfaat kepada pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) di seluruh negeri ini.
 
“Saya memberikan jaminan kerajaan menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan memberikan bantuan sewajarnya.

“Saya sebagai Menteri KKTP sanggup membantu anda sekiranya memerlukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei 2024 PKS Sabah di sini, kelmarin.

Joachim juga memuji usaha dilakukan Pengasas merangkap Presiden PKS Sabah Prof. Datuk Foo Ngee Kee atas komitmen beliau terhadap pembangunan serta sokongan kepada pelbagai program yang diadakan kerajaan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Foo kerana PKS Sabah sering memberikan cadangan bernas untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi MSME dan PKS Sabah,” katanya.

Sementara itu, Foo dalam ucapannya berkata, para hadirin yang terdiri daripada pemain PKS perlu memanfaatkan majlis makan tenghari itu dengan membina rangkaian perniagaan diantara satu sama lain.

Katanya, pelbagai agensi kerajaan berkaitan serta peniaga dari Sabah, Semenanjung dan Brunei hadir dalam majlis itu.

“Oleh itu, ambil peluang untuk untuk membina rangkaian perniagaan untuk membangunkan perniagaan masing-masing.
 
“PKS Sabah juga menghargai semua sokongan yang diterima daripada para penaja seperti agensi kerajaan, institusi kewangan, Penasihat Kehormat PKS Sabah, ahli dan banyak lagi,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe.

–Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment