Home » Arifin berhasrat wujudkan Akademi Al-Quran
Berita Tempatan Politik

Arifin berhasrat wujudkan Akademi Al-Quran

Arifin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Pedalaman Bawah di Dewan Dun Banir, baru-baru ini.

BEAUFORT: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Arif yang juga Exco Agama berhasrat untuk mewujudkan Akademi Al-Quran di Sabah sebagai usaha melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah berkualiti.

Mengulas lanjut, Arifin memberitahu kewujudan akademi itu juga diyakini berupaya menyediakan Qari dan Qariah pelapis khususnya dalam kalangan golongan muda.


Tambah beliau, bagi memastikan pelaksanaan akademi berkenaan lebih teratur dan menepati tujuan, pihaknya masih dalam proses mencari model contoh untuk diteladani.


“Sebelum ini kita sudah melawat Johor dan seterusnya akan melawat negeri-negeri lainnya dalam masa terdekat bagi mencari model contoh sebelum akademi ini direalisasikan.

“Setakat ini, para Qari dan Qariah yang terpilih (wakil Sabah) dilatih oleh bekas-bekas johan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ), sekaligus mampu beri persaingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Pedalaman Bawah di Dewan Dun Banir, baru-baru ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.

Dalam perkembangan lain, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) ketika ditemui pemberita turut berkongsi hasrat yang sama iaitu ingin mewujudkan Akademi Al-Quran di Parlimen Sipitang dalam masa terdekat.


Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi agama dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam bagi memastikan usaha murni itu tercapai.

“Kita bercadang bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bagi merealisasikan akademi ini.


“Sipitang juga mempunyai ramai Qari dan Qariah yang berpotensi namun bakat mereka perlu diasah dan Akademi Al-Quran adalah inisiatif kita untuk mencapai hasrat murni ini,” katanya.


Terdahulu, Johan Qari MTQ Peringkat Zon Pedalaman Bawah dimenangi Qari bahagian Beaufort, Aris Mohd Rauf manakala johan Qariah disandang Sahrmilah Sani, Qariah bahagian Membakut.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment