Home » Kemudahan asas dan kebersihan perlu sentiasa ditahap terbaik:Nicholas 
Berita Tempatan Politik

Kemudahan asas dan kebersihan perlu sentiasa ditahap terbaik:Nicholas 

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat, Nicholas Ban berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang secara sengaja merosakkan serta mengotorkan persekitaran.

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan berkaitan perlu membuat pemantauan berkesan terhadap tahap kebersihan serta kemudahan asas di lokasi-lokasi yang menjadi tarikan para pelancong.

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat, Nicholas Ban berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang secara sengaja merosakkan serta mengotorkan persekitaran.

Katanya, sehingga kini masih terdapat aduan daripada pelancong serta pengusaha pelancongan mengenai kekurangan kemudahan asas di lokasi tumpuan pelancong, ia termasuk kekurangan tandas awam serta bekalan air.
 
“Taman Marin Tun Sakaran sebagai contohnya, kawasan itu menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara, tetapi kekurangan bekalan air dalam tandas awam telah menjadi sesuatu yang negatif.

“Pihak berkenaan hanya menyediakan kemudahan asas itu secara lengkap apabila terdapat aktiviti turun padang oleh pegawai kerajaan atau menteri berkaitan, tetapi selepas itu…kemudahan bekalan air akan kembali menjadi masalah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, kekurangan penyelenggaraan terhadap kemudahan asas ini akan memberikan pengalaman negatif kepada pelancong.

“Kini semua boleh dipapar dalam atas talian, pengalaman negatif pelancong yang dimuat naik ke dalam media sosial akan mendorong bakal pelancong untuk tidak hadir ke Sabah,” katanya.
 
Katanya, pemandangan persisiran pantai di bandaraya ini dijuga sering terjejas akibat sampah yang terapung-apung dipermukaan laut, khususnya di jeti-jeti pelancongan di sini.

“Cuba bayangkan para pelancong merakam kekotoran itu dan memuat naik ke media sosial, ia sudah pasti akan menjejaskan imej destinasi pelancongan di sini,” katanya.

Selain itu katanya, pemandu pelancong tidak berlesen di sini juga semakin meningkat sekali gus menjadi masalah utama dalam industri pelancongan Sabah.

Katanya, ia bukan sahaja merosakkan sumber pendapatan pemandu pelancong berlesen tetapi juga berpotensi mendatangkan risiko keselamatan kepada pelancong.

“Sektor pelancongan adalah salah satu penyumbang ekonomi terbesar kepada Sabah, kita mesti melindungi industri ini seterusnya memastikan kelestariannya berpanjangan.

“Satu langkah proaktif perlu diambil oleh pihak berkenaan terutama sekali Menteri Pelancongan dan Kebudayaan haris sentiasa memperkasakan industri pelancongan Sabah,” katanya.

Katanya, dengan memperkasakan kemudahan asas, membanteras pemandu pelancong haram, usaha itu boleh memastikan para pelancong menikmati pengalaman melancong yang lebih baik di sini.
 
“Kementerian berkaitan diharapkan mengambil serius masalah ini dan berusaha mengatasinya.
 
“Kerjasama dengan kementerian pelancongan di peringkat Persekutuan perlu dieratkan khususnya menangani masalah-masalah pemandu pelancong haram, sekali gus melindungi sektor pelancongan negeri dan keselamatan pelancong,” katanya.

Katanya, menteri berkenaan wajib mengadakan program turun padang untuk melakukan tinjauan dari semasa ke semasa untuk mengetahui kelemahan yang terdapat pada kemudahan asas di semua destinasi pelancongan.

— Yap Siong Han