Home » Tapak pembinaan klinik baharu tidak cukup luas : James
Berita Tempatan Politik

Tapak pembinaan klinik baharu tidak cukup luas : James

Bangunan kekal Klinik Kesihatan Mansiat, bagi menggantikan bangunan yang terbakar tahun lepas, tidak dapat dibina kerana keluasan tapak tidak mencukupi. James berkata, tapak sedia ada hanya seluas 2.5 ekar sedangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sekurang-kurangnya 3 ekar.

SOOK: Bangunan kekal Klinik Kesihatan Mansiat, bagi menggantikan bangunan yang terbakar tahun lepas, tidak dapat dibina kerana keluasan tapak tidak mencukupi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, tapak sedia ada hanya seluas 2.5 ekar sedangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sekurang-kurangnya 3 ekar.

James yang juga Exco Kesihatan Negeri berkata, KKM sebenarnya telah meluluskan peruntukan untuk membiayai pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Mansiat, tetapi masalah tersebut menjadi penghalang.Pada masa ini, katanya, operasi Klinik Kesihatan Mansiat ditempatkan dalam bangunan kabin sementara sahaja.

“Kita memerlukan bangunan kekal bagi keperluan rawatan dan perubatan jangka panjang penduduk di kawasan ini,” katanya kepada media semasa melawat bangunan kabin sementara itu, pada Jumaat.

Justeru, beliau menggesa jabatan dan agensi berkaitan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tapak itu bagi membolehkan pembinaan bangunan baharu dilaksanakan dengan segera.

Tambahnya, Klinik Kesihatan Mansiat juga memerlukan ambulans untuk pengurusan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di Hospital Keningau.

Dalam perkembangan lain, James mengulas masalah yang dihadapi oleh pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis di hospital atau klinik yang mempunyai pusat dialisis iaitu kos, khususnya tambang perjalanan.

Katanya, terdapat pesakit yang tinggal di kampung terpencil yang memerlukan kos RM100 untuk perjalanan sehala, justeru RM200 untuk pergi balik.

“Ada kalangan mereka ini yang perlu menjalani hemodialisis tiga kali seminggu, melibatkan kos perjalanan RM600.

“Bererti dalam sebulan, mereka memerlukan RM2,400. Bayangkan kalau seseorang itu hanya penoreh getah, dia memang tidak mampu menampung kos itu,”  jelasnya.

Katanya, walaupun pada masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan bantuan kebajikan RM200 untuk yuran bagi setiap pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di pusat dialisis, ia jelas tidak mencukupi.

James berkata, selaku Exco Kesihatan Negeri beliau memohon kepada KKM supaya dapat memberikan peruntukan khas kepada pesakit-pesakit yang menggunakan perkhidmatan dialisis ini dari segi tambang mengikut keperluan pesakit.

Menjawab soalan lain berkaitan keadaan bangunan klinik di seluruh Sabah, James berkata, masih banyak klinik yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 70an lagi.

“Sehubungan itu, saya ada memohon dengan KKM untuk memastikan, menjelang 2025 semua klinik kesihatan di Sabah tidak ada lagi bangunan kayu. 

“Ketika itu nanti, kita berharap semua bangunan klinik kesihatan diperbuat daripada konkrit,” katanya.

Terdahulu pada hari yang sama, James juga melakukan lawatan di Klinik Kesihatan Nabawan bagi meninjau keadaan di klinik itu.

Beliau berkata, sedikit masalah yang perlu diambil perhatian terhadap klinik berkenaan iaitu dari segi pewartaan tapak kerana ia masih berstatus hak milik sementara (PT).

Selain itu, katanya, klinik itu memerlukan penambahan kakitangan dan pegawai-pegawai yang khusus mengendalikan pusat dialisis di klinik berkenaan.

Untuk rekod, pada masa ini terdapat 114 pusat perubatan di bawah KKM yang berstatus klinik kesihatan di seluruh Sabah.Daripada jumlah itu, katanya, tapak 47 klinik belum ada permohonan tanah, sementara yang lainnya masih berstatus geran tawaran.

Daripada jumlah itu, katanya, tapak 47 klinik belum ada permohonan tanah, sementara yang lainnya masih berstatus geran tawaran.

Marutin Ansiung