Home » Kerajaan perlu laksana pembenihan awan di Sabah:Masiung
Berita Tempatan Politik

Kerajaan perlu laksana pembenihan awan di Sabah:Masiung

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, Sabah mengalami cuaca panas dan kering sehingga mencecah 40 darjah Celsius.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah drastik untuk melakukan proses pembenihan awan di Sabah memandangkan keadaan cuaca yang panas ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, Sabah mengalami cuaca panas dan kering sehingga mencecah 40 darjah Celsius.

Katanya, fenomena itu menyebabkan bekalan air sedia ada termasuklah di empangan negeri ini sudah terjejas.

“Laporan Jabatan Air Sabah (JAS) menunjukan takungan air di empangan berada ditahap kritikal dan hanya berbaki tiga bulan untuk menampung keperluan pengguna.

“Sumber air di Lembangan Sungai di beberapa daerah juga turut menunjukan paras penurunan yang sangat ketara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, gelombang haba yang tinggi juga dilihat akan memusnahkan tanaman dan ternakan kerana bekalan air di kawasan luar bandar juga mula terjejas.

Masiung turut meminta supaya kerajaan negeri segera mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan proses pembenihan awan.

“Hal ini kerana, isu cuaca kemarau dan panas ini sudah mencecah satu bulan, malah ia semakin membimbangkan penduduk di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga turut meramalkan keadaan kering dan panas di Sabah akan berterusan sehingga hujung bulan Mei depan.

Katanya, fenomena monsun barat daya kali ini agak luar biasa dan kerajaan perlu segera mengambil langkah drastik supaya proses pembenihan awan disegerakan.

“Langkah catuan bekalan air kurang disenangi penduduk, lebih-lebih lagi pertengahan bulan ini umat Islam akan menunaikan ibadah puasa.

“Selain itu, musim persekolahan juga tidak lama lagi dibuka yang mana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan orang ramai terdedah stroke haba,” katanya.

Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment