KOTA KINABALU – Aktivis politik Gerakan Kuasa Malaysia (G57) menjangkakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memerintah Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun rakyat Sabah sedang menghadapi tiga isu infratruktur iaitu jalan raya, air dan elektrik namun dengan perancangan jangka masa panjang yang disediakan kerajaan diyakini dapat menyelesaikan perkara tersebut.
“G57 optimis komponen GRS yang diketuai oleh Datuk Seri Hajiji Noor dijangka tidak mempunyai masalah menang bergaya pada PRN Sabah ke-17 akan datang.
“Masalah utama yang masih membelenggu rakyat Sabah sudah tentu keadaan jalan raya khususnya bagi laluan Ranau, Telupid hingga ke Lahad Datu dan banyak lagi kawasan yang memerlukan perhatian khusus.
“Selain itu, masalah air dan elektrik juga masih berada dalam kritikal tetapi melihat kepada perancangan jangka masa panjang kerajaan negeri Sabah, G57 yakin ketiga masalah ini akan berjaya di atasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, G57 terus bekerjasama rapat dengan dua badan bebas di Sabah bagi menilai prestasi Ketua Menteri termasuk pencapaian kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Hasil yang boleh dirumuskan setakat ini Hajiji jauh mengatasi dua pemimpin lain yang bersungguh mahu merebut jawatan Ketua Menteri Sabah.
“Setakat ini rakyat Sabah secara keseluruhannya amat berpuas hati terhadap prestasi Hajiji namun G57 juga berharap agar kerjasama antara GRS dan PH dapat dimuktamadkan memandangkan undi bagi kawasan majoriti kaum Cina dilihat sehingga kini masih cenderung kepada PH,” katanya.
Untuk rekod, PRN Sabah yang ke-17 dijangka akan diadakan sebelum Oktober tahun depan susulan tempoh satu penggal yang bakal berakhir selepas PRN pada tahun 2020.
Add Comment