Home » 285 koloni setinggan dikenal pasti di Sabah: Joachim
Berita Tempatan Politik

285 koloni setinggan dikenal pasti di Sabah: Joachim

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, hanya tiga daerah iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran yang tidak mempunyai koloni setinggan.

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan telah mengenal pasti terdapat sebanyak 285 koloni setinggan di seluruh Sabah, melibatkan 33,566 buah rumah dan 130,397 penduduk.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, hanya tiga daerah iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran yang tidak mempunyai koloni setinggan.

Katanya, dia ingin melihat lebih banyak daerah yang sifar setinggan dan penurunan bagi daerah yang mempunyai banyak koloni setinggan.

“Saya telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan kajian keperluan perumahan di daerah masing-masing.

 “Ia bagi mengenal pasti dan menyenaraikan tanah yang tersedia dibangunkan untuk pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023, di sini semalam.

Beliau turut mengambil perhatian mengenai usaha Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) untuk meningkatkan prestasi Jabatan.

“Saya sendiri melihat ada perkembangan baik terutama proses penilaian dan kelulusan pembangunan dalam Majlis Perancang Negeri yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Saya menyokong usaha berterusan JPBW untuk terus maju ke hadapan walaupun berhadapan dengan kekangan seperti kekurangan kakitangan dan yang lain-lain,” katanya.

Dr Joachim berkata, semua kakitangan dibawah kementeriannya perlu meningkatkan integriti dalam penyampaian perkhidmatan yang diamanahkan.

“Saya berharap agar semua warga kementerian dapat menyematkan dalam diri kepentingan amalan integriti dalam menjalankan tanggungjawab.

“Dengan amalan ini, ia akan dapat memberi gambaran kepada rakyat bahawa penjawat awam sentiasa telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah diminta supaya melipatgandakan usaha memperkasa PBT masing-masing dengan menitikberatkan khidmat kepada penduduk masing-masing.

“Saya telah memulakan jelajah kesemua PBT di Sabah dengan melawat Majlis Daerah Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan.

“Setakat ini, saya melihat masalah yang dihadapi oleh PBT lebih kurang sama iaitu mengenai kekurangan kewangan dan kakitangan serta kemudahan asas yang usang dan tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais dan Setiausaha Politik Kementerian, Datuk Jonnybone J. Kurum.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment