TAWAU: Semua Ahli Parlimen di Sabah sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu bersama-sama memastikan negeri ini mendapat peruntukan dan perhatian di peringkat Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A. Ghani Pg. Amir berkata, perbuatan menuding jari kepada kerajaan negeri semata-mata tidak membawa manfaat kepada Sabah.
Katanya, Ahli Parlimen yang hanya menyalahkan kerajaan negeri terutamanya masalah infrastruktur sepatutnya tidak berlaku kerana itu juga tanggungjawab mereka bersuara di Dewan Parlimen.
“Sepatutnya Ahli Parlimen yang dipilih rakyat di negeri ini bersama-sama bersuara supaya kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan infrastruktur di Sabah.
“Semua Ahli Parlimen adalah harapan rakyat supaya mereka mampu menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah melakukan yang terbaik dan sedang melaksanakan kerja-kerja naiktaraf bagi menangani masalah infrastruktur di Sabah.
“Saya percaya pembangkang juga sudah melihat apa yang kerajaan negeri sekarang sedang lakukan untuk mengatasi masalah infrastruktur yang diwarisi daripada kerajaan lalu.
“Namun, untuk niat politik yang ingin memburukkan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka sanggup menuding jari kepada kerajaan negeri,” katanya.
Hassan berkata, kerajaan negeri tidak hanya berdiam diri kerana banyak tindakan-tindakan susulan sudah dibuat untuk mengatasi masalah infrstruktur di Sabah.
Katanya, memang diakui terdapat masalah-masalah infrastruktur yang dihadapi termasuklah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, tetapi kerajaan negeri tidak berdiam diri kerana sudah ada tindakan dilakukan.
“Kerajaan negeri sudah mencari jalan untuk menangani semua masalah itu dan saya percaya tindakan yang dilakukan oleh kerajaan hari ini lebih pantas daripada kerajaan lalu dipegang pihak pembangkang.
“Justeru, saya ingin menasihatkan parti pembangkang jangan hanya menyalahkan kerajaan negeri sahaja kerana mereka juga perlu bersuara di peringkat Persekutuan,” katanya.
Add Comment