MUTAKHIR ini, klik carian `SMJ’ menemukan dapatan yang bukan sedikit. Sungguh luar biasa. Google menghimpun bermacam petikan, rujukan dan tulisan.
SMJ sebagai akronim Sabah Maju Jaya semakin tular dan berputar-putar. Ramai orang bercakap mengenainya. Daripada orang besar dan pembuat dasar sehingga kepada pelajar dan peniaga di pasar-pasar.
SMJ menjadi popular lantaran manipulasi oleh segelintir politikus yang rakus tapi menikus. Apa saja masalah klasik yang timbul di bumi Sabah, dikaitkan dengan SMJ.
Malah, ada yang pandai-pandai mencipta frasa momokan tersendiri. Tujuannya mempersenda dan memperlekeh usaha murni pimpinan membangun negeri sepenuh hati.
Di sebalik pandangan sinis itu, pimpinan negeri di bawah naungan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Noor terus komited untuk merealisasikan Hala Tuju Pembangunan SMJ sebagai agenda besar membawa Sabah ke mercu kejayaan berpanjangan.
SMJ adalah idea dan inisiatif yang diperkenalkan Hajiji sejurus mengambil alih teraju pemerintahan negeri pada September 2020 pasca pandemik COVID-19 yang menghambat ekonomi di seluruh pelosok dunia.
Sabah Maju Jaya yang merupakan slogan Jata Negeri sejak sekian lama telah diangkat sebagai nama pelan pembangunan Negeri Sabah bagi tahun 2021-2025.
Matlamatnya untuk membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama dan kebertanggungjawaban setiap anak Sabah untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
SMJ berfungsi sebagai panduan hala tuju dasar dan program kerajaan, seterusnya memandu arah pelaksanaan secara terancang dan strategik, untuk mencapai sasaran dan matlamat yang bertepatan dengan keperluan pembangunan negeri.
SMJ mengangkat `Sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan’, manakala membangun `Modal insan dan kesejahteraan rakyat’ dan S pula mencipta `Jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.’
SMJ merupakan sebuah frasa ringkas, tetapi di dalamya terangkum fundemantal cukup luas — sebuah perjuangan panjang untuk rakyat dan negeri Sabah.
Ia adalah bukti kesungguhan Hajiji untuk membawa dimensi baharu negeri Sabah di sebalik dinamika politik nasional dan kondisi ekonomi global pasca pandemik COVID-19.
Baginya, masa depan Sabah harus dibina dengan kekuatan tersendiri berdasarkan fakta dan realiti. Dan untuk menjayakan SMJ, semua pihak perlu bertekad cemelang. Bukan sebaliknya memperlekeh atau mempersendakan.
Hajiji menjelaskan bahawa akronim Sabah Maju Jaya dipilih sebagai hala tuju pembangunan negeri ini kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada Jata Negeri ke kedudukan lebih tinggi.
Tanpa menyembunyikan rasa kecewanya terhadap golongan yang mempersenda SMJ, Hajiji mahu rakyat menghayati makna besar yang tertuang pada hala tuju itu, selain mencintai kemajuan dan kejayaan negeri sendiri.
“Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, atau tidak menyayangi bahkan menghina negerinya sendiri,” demikian ketegasannya ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 pada 5 Mac 2024.
Dilancarkan pada 29 Mac 2021, inisiatif SMJ sehingga kini sudah berjaya meletakkan Sabah ke posisi dan landasan tepat untuk terus maju dan membangun.
Ini terbukti dengan pelbagai kejayaan, termasuk dari segi hasil kerajaan yang mencapai RM6.973 bilion tahun lalu, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.
Selain itu, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion di samping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah berjumlah RM118.1 bilion pada tahun 2022.
Hakikatnya, fundemental yang berpasak pada akronim SMJ cukup luas dan tangkas sifatnya di sebalik frasa yang ringkas itu. Biarpun banyak sindiran pedas, inilah hakikat sebuah perjuangan tuntas yang ikhlas. Dan sebuah perjalanan. Sabah Maju Jaya!
Add Comment