Home » Peluang menang majoriti lebih cerah sekiranya calon GRS bertanding di kerusi Parlimen Beaufort
Berita Tempatan Politik

Peluang menang majoriti lebih cerah sekiranya calon GRS bertanding di kerusi Parlimen Beaufort

SEMANGAT: Sebahagian Ketua-Ketua Bahagian parti kompenen GRS Bahagian Beaufort serta AJK merakamkan gambar kenangan selepas mesyuarat itu.

BEAUFORT: Pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahagian Beaufort yakin kerusi Parlimen Beaufort dapat dimenangi dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya kerusi itu ditandingi calon daripada gabungan itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Beaufort Japari Kunin memberitahu, setakat ini difahamkan terdapat dakwaan bahawa kerusi tersebut akan ditandingi calon daripada UMNO dan perkara itu dikhuatiri akan menjejaskan kemenangan parti pemerintah.


Jelas beliau lagi, sentimen ‘kerusi tradisi’ tidak lagi relevan pada ketika ini kerana berdasarkan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Kuala Penyu dalam kawasan Parlimen Beaufort, menang dengan majoriti tinggi.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Beaufort Japari Kunin 


Tambah beliau, pengundi di DUN Klias dan DUN Kuala Penyu merupakan pengundi sama yang akan memilih dalam PRU15 nanti dan situasi itu memberi gambaran jelas kemenangan yang bakal diperolehi di kerusi Parlimen Beaufort nanti.


Justeru katanya, pucuk pimpinan wajar memberi pertimbangan terhadap perkara itu kerana sekiranya kerusi tersebut dimenangi parti pembangkang, ianya tidak akan memberi manfaat kepada GRS mahupun UMNO malah menyukarkan pembentukan kerajaan yang stabil.

GRS Bahagian Beaufort pada Sabtu telah mengadakan satu mesyuarat bersama dengan parti-parti dalam gabungan itu yang dipengerusikan Ketua Bahagian GRS Beaufort merangkap Ketua Bahagian BERSATU Beaufort Datuk Isnin Aliasnih bagi membincangkan mengenai beberapa perkara berkaitan PRU15.


Hadir sama Bendahari BERSATU Bahagian Beaufort Datuk Limus Jury yang juga Pemangku Naib Ketua Bahagian BERSATU Beaufort.



Dalam mesyuarat tersebut, semua pimpinan parti bahagian dalam gabungan itu sebulat suara mengambil keputusan mahu kerusi Parlimen Beaufort ditandingi calon daripada GRS pada PRU15 ini.


Ketua Bahagian STAR Kuala Penyu, Jonas Sunggim pula memberitahu, STAR bahagian itu menyokong penuh calon daripada GRS malah yakin gabungan itu tidak akan berdepan dengan halangan besar untuk mempertahankannya daripada pembangkang kerana mereka mampu mengulangi kemenangan sama di dua DUN untuk kerusi Parlimen Beaufort pada PRU15.


Bagi Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kuala Penyu Abdul Rahman Ali pula berkata, pelik sekiranya bukan GRS bertanding kerana kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Parlimen Beaufort adalah daripada GRS.


Jelas Ketua Bahagian PBS Klias, kemenangan majoriti dua ADUN di kawasan Parlimen Beaufort memberi isyarat jelas bahawa tanggapan ‘kerusi tradisi’ sebelum ini tidak lagi boleh dijadikan sebagai sandaran kerana situasi politik sudah berubah.


Bagi Ketua Bahagian SAPP pula, sekiranya benar wujud persefahaman untuk mencapai kemenangan bersama iaitu GRS-BN, mengapa perlu mengambil risiko sedangkan potensi untuk menang sudah di depan mata.


Justeru, Ketua-Ketua Bahagian serta ahli jawatankuasa (AJK) bahagian parti komponen GRS sebulat suara mahu kerusi Parlimen Beaufort ditandingi calon daripada GRS dalam PRU15 nanti.

Kenneddy Corlleus