Home » PPS sedia pinjaman pembelian rumah sehingga 100% harga pembelian
Berita Tempatan Politik

PPS sedia pinjaman pembelian rumah sehingga 100% harga pembelian

Ketua Pegawai Eksekutif PPS, George Taitim Tulas (lima dari kanan) berkata, selain itu, PPS juga telah menyediakan kemudahan pinjaman kepada kontraktor yang diberikan kontrak untuk membina Rumah Mesra SMJ dengan kadar faedah yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh agensi lain sebelum ini.

KOTA KINABALU: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) telah menyediakan kemudahan pinjaman pembelian rumah sehingga 100% harga pembelian, untuk membeli rumah yang pertama dan pembelian terus daripada pemaju.

Ketua Pegawai Eksekutif PPS, George Taitim Tulas berkata, selain itu, PPS juga telah menyediakan kemudahan pinjaman kepada kontraktor yang diberikan kontrak untuk membina Rumah Mesra SMJ dengan kadar faedah yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh agensi lain sebelum ini.

Sebanyak RM300 juta peruntukan disediakan untuk kemudahan ini, tambahnya.

Untuk Program Initiatif Pembangunan Usahawan Perbadanan pula, beliau berkata, PPS telah menyediakan kemudahan pinjaman untuk peniagaan baru (Business Start-Up) sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sebanyak 3% baki berkurangan bulanan dan umur peminjam serendah 18 tahun.

“Jumlah maksima pinjaman Mikro Kredit juga dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM2,000, tanpa faedah, dan tempoh pembayaran dipanjangkan kepada 60 bulan daripada 24 bulan serta umur kelayakan meminjam dinaikan kepada 70 tahun.

“Jumlah maksima kemudahan pinjaman Agro Makanan turut ditingkatkan kepada RM100,000 dan kadar faedah 0% dikekalkan,” katanya.

Selain daripada itu, katanya, untuk meluaskan pencapaian perkhidmatan, PPS telah menyediakan seunit pejabat bergerak (mobile office) yang dilengkapkan dengan kemudahan internet serta WiFi.

“Pejabat bergerak ini bukan hanya untuk urusan perniagaan tetapi juga membolehkan latihan dan seminar dilaksanakan di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kelengkapan internet dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau menambah, PPS juga akan membuka pejabat cawangan baru di daerah Tuaran yang dijangka akan mula beroperasi selewat-lewatnya bulan Jun 2024.

George berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Perbadanan Pinjaman Sabah 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa (26 Mac).

Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PPS kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang menerima peralatan perubatan berjumlah RM647,000 yang terdiri daripada:

  • 2 units of Handheld Echocardiogram – RM85,000.80
  • 80 units of Fetal Heart Doppler – RM189,000
  • 17 units of Non-Invasive Jaundice Meter – RM249,900.00; dan
  • 7 units of Phototeherapy Lights – RM122,500

Selain itu, PPS turut memberikan sumbangan dalam bentuk bahan untuk pembinaan Surau An Nur Pengiran Hamdan, Kg. Tambalugu, Tuaran, dan sumbangan kepada golongan anak yatim serta asnaf.

“Besar harapan kami di mana sumbangan-sumbangan ini dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan,” kata George.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Pengerusi PPS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna.

— TAMAT