Home » SEDIA diminta kerjasama dengan agensi strategik bangun sumber ekonomi baharu untuk Sabah
Berita Tempatan Politik

SEDIA diminta kerjasama dengan agensi strategik bangun sumber ekonomi baharu untuk Sabah

Pendekatan kepimpinan Hajiji ingin membawa Sabah dan rakyatnya ke tahap yang berbeza, apabila baru-baru ini mendesak SEDIA, sebuah agensi kerajaan untuk mengenalpasti industri berdaya maju agar negeri tidak bergantung pada sumber tradisonal seperti minyak kelapa sawit, minyak petroleum dan hasil pertanian.

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bekerjasama dengan agensi strategik kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan pihak swasta untuk membangunkan sumber ekonomi baharu bagi Sabah.


“Kita mesti berupaya melakukan lonjakan paradigma dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negeri,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di sini kelmarin.


Ketua Menteri, yang juga pengerusi SEDIA berkata sudah tiba masanya untuk Sabah tidak lagi bergantung kepada sumber ekonomi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas serta getah untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.


“Kita harus mengambil manfaat sepenuhnya aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan,” katanya.


Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekspot utama negeri Sabah pada tahun 2022 ialah minyak kelapa sawit berjumlah RM21.1 billion; manakala Gas Asli Cecair atau LNG, RM5.2 billion; petroleum mentah RM30 billion; dan minyak isirung sawit RM3.1 billion, sementara barangan ekspot yang lain yang merangkumi pelbagai barangan sama ada yang mentah atau yang diproses bernilai RM3.5 billion.


“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas barangan ekspot bukan komoditi. Kita juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk diekspot,” katanya.


Hajiji turut menyarankan agar pusat-pusat kajian dan penyelidikan di Sabah memainkan peranan dalam membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, pengeluaran produk-produk bernilai tinggi dan punya nilai untuk didagang dan pastinya ia boleh meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan bagi negeri ini.


“Terdapat lebih daripada 21 pusat kajian dan penyelidikan di negeri ini. Kita boleh menggunakan kajian mereka untuk membangunkan aktiviti hiliran Sabah,” katanya.

Hajiji berharap hasil kajian yang telah, akan atau sedang dijalankan oleh SEDIA dapat digunakan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang berkepentingan.


Antara kajian-kajian tersebut ialah Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau; Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau; SDC-Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah; SDC-Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan POIC Sandakan; SDC-Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu dan; Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah.


“Saya mahu semua penemuan dan hasil dari kajian-kajian yang dilakukan dapat digunakan oleh banyak pihak bukan sahaja sebagai asas untuk mengesyorkan projek projek pembangunan tetapi sebagai rujukan untuk pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.


Selepas mesyuarat, Ketua Menteri berbuka puasa dengan ahli lembaga SEDIA, ketua ketua masyarakat serta ketua-ketua masjid dan surau di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah.


–Tamat