Home » ‘Semak rekod apa kamu buat’, Armizan jawab Bung
Berita Tempatan Politik

‘Semak rekod apa kamu buat’, Armizan jawab Bung

Armizan Mohd Ali meminta Bung Moktar Radin menunjukkan rekod prestasinya ketika menjadi menteri kerja raya Sabah selama dua tahun sebelum menuding jari kepada orang lain.
Pemimpin GRS berkata ketua Umno Sabah bebas mengeluarkan kenyataan tetapi apa yang penting gabungan itu mempunyai perancangan dan usaha menambah baik negeri.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas dakwaan Bung Moktar Radin bahawa pemimpin daripada parti itu “hanya pandai cakap” berhubung usaha berterusan menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air negeri.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Armizan Mohd Ali, berkata sikap menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah di Sabah.

“Dalam kita bercakap menuding jari kepada orang lain, jangan lupa empat jari akan melihat dan menilai pada diri kita sendiri.

“Saya fikir rakyat kita termasuk orang (di) Sabah semua cukup bijak bukan hanya menilai berdasarkan kata-kata, tetapi mereka menilai kepada prestasi (pemimpin) itu juga,” katanya.

Baru-baru ini ketua Umno Sabah berkata, pemimpin GRS “hanya pandai cakap, tiada tindakan” dan mendakwa mereka berulang kali membuat pengumuman tanpa tindakan efektif menyelesaikan masalah di negeri itu.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Armizan Mohd Ali, membidas dakwaan Bung Moktar Radin bahawa pemimpin daripada parti itu “hanya pandai cakap” berhubung usaha berterusan menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air negeri.

Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar meminta Bung menunjukkan rekod prestasinya ketika menjadi menteri kerja raya Sabah selama dua tahun sebelum menuding jari kepada orang lain.

Beliau turut mempersoalkan sepanjang Bung memegang jawatan itu apa dilakukannya.

“Apa dia (Bung) buat. (Di) Kawasan saya projek air yang sudah masuk dalam perancangan sejak 2019 pun tidak jalan, dan hanya Ogos 2023 projek itu berjalan sebaik saya jadi Ahli Parlimen Papar,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata Bung bebas mengeluarkan kenyataan tetapi apa yang penting GRS mempunyai perancangan dan usaha menambah baik negeri.

“Bagi saya rata-rata pemimpin di Sabah adalah orang lama dalam politik.

“Setiap pemimpin akan dinilai berdasarkan ‘track rekod’ masing-masing kerana pernah jadi menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan berpuluh tahun jadi Ahli Parlimen,” katanya.

Mohamad Fadli