Home » Bung hilang modal rai sokongan rakyat
Politik Sudut Pandangan

Bung hilang modal rai sokongan rakyat

Baru-baru ini ketua Umno Sabah berkata, pemimpin GRS “hanya pandai cakap, tiada tindakan” dan mendakwa mereka berulang kali membuat pengumuman tanpa tindakan efektif menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.

TANDA seorang pemimpin gagal merai sokongan rakyat apabila menggunakan isu kemudahan asas yang didepani rakyat bukan hanya sekarang akan tetapi ianya adalah warisan berdekad-dekad.

Setiap kerajaan cuba menyelesaikan isu-isu kemudahan asas, bezanya hanya pada tahap tindakan, namun Bung cuba menafikan cara tindakan itu, apabila membuat kesimpulan bahawa isu kemudahan asas hanya berbangkit pada era Kerajaan GRS selepas ketiadaan beliau dalam kerajaan, iaitu bermula pada Januari 2023.

Bung memilih menafikan tahap tindakan; sementara pemimpin lain dalam kumpulan beliau seperti Ketua Umno Putatan Jeffery Mohammed pula membuat dakwaan “bodoh” kononnya kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor hanya berjanji kosong, sedangkan tindakan kerajaan bukan hanya diumumkan akan tetapi dibahas dalam Sidang DUN Sabah dan telah menjadi hansard.

Isu kemudahan asas di Sabah berlegar-legar pada jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Natijahnya selagi mereka itu rakyat atau penduduk Sabah dan tinggal di Sabah pasti tahu keadaan tiga serangkai kemudahan asas di negeri ini, bahawa ianya bukan isu baharu akan tetapi isu yang perlu ditangani setiap kerajaan.

Berbanding kerajaan-kerajaan lalu, jika rakyat meneliti tahap tindakan ke arah penyelesaian kemudahan asas itu, pada era Kerajaan GRS lah paling banyak tindakan yang telah dibuat baik berkaitan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Untuk memastikan setiap tindakan berjaya direalisasikan misalnya daripada tenaga elektrik, kerajaan negeri telah mengambil alih penyeliaan daripada Kerajaan Persekutuan, manakala untuk bekalan air selain meneruskan naiktaraf loji-loji rawatan air, juga membina empangan baharu di Tenom yang mempunyai tujuan serampang mata, membekalkan elektrik dan air yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Untuk jalan raya pula, memastikan rangkaian lebuh raya Pan Borneo disiapkan sesuai dengan jadual, sementara jalan-jalan di luar rangkaian lebuh raya itu sedang dilaksanakan secara berperingat.

Proses yang sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan isu kemudahan asas, “tidak diiktiraf” oleh Bung dan kumpulannya, apabila cuba memperdaya rakyat, jika mereka yang memimpin, mereka mempunyai kuasa ajaib menyelesaikan isu kemudahan itu serta merta, sedangkan semasa Bung diberi tanggungjawab selama 2 tahun sehingga ke tarikh pemecatan, “tiadapun” kuasa ajaib tersebut.

Sifat seorang pemimpin yang hanya bermatlamat kedudukan dan kuasa, apabila memilih isu yang berkaitan dengan kuasa alam yang merujuk pada kemudahan asas, kerana tiada jalan singkat atau kuasa manusia dapat mengatasinya dengan serta merta melainkan melalui proses, memerlukan masa dan kewangan.

Rakyat negeri ini perlu berhati-hati dengan pemimpin yang bermatlamat kedudukan dan kuasa, kerana yakinlah apabila mendapat kuasa tiada akan dapat dibuat, kerana tahap pemikiran mereka tidak sampai ke tahap penyelesaian, kerana dinodai dengan sifat negatif.

Sejak Bung diluar kerajaan seperti juga Datuk Shafie Apdal serta kumpulan mereka hanya tahu membuat kritikan, tetapi tiada satupun solusi penyelesaian, selain bergantung pada “kuasa ajaib” mereka. Setahu penulis, hanya Tuhan sahaja yang mempunyai kuasa ajaib.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .