Home » Gaji penjawat awam Sabah akan dinaikkan
Berita Tempatan Politik

Gaji penjawat awam Sabah akan dinaikkan

Hajiji (tengah) ketika melawat reruai pameran jabatan dan agensi Kementerian Sumber Manusia selepas merasmikan sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024.

KOTA KINABALU: Penjawat awam di Sabah bakal menerima kenaikan gaji sebagaimana penjawat awam Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, peratus kenaikan gaji berkenaan akan mengikut jumlah kenaikan yang sama seperti yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan nanti.

“Ini yang kita tunggu, kerajaan Persekutuan  sudah mencadangkan untuk menaikkan gaji penjawat awam Persekutuan yang akan diumumkan Perdana Menteri mungkin semasa Belanjawan Negara.

“Kita juga akan menaikkan gaji penjawat awam di Sabah…jangan bimbang,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menunggu pengumuman dari kerajaan Persekutuan berhubung jumlah peratus kenaikan gaji penjawat awam di negeri ini.

Sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam Persekutuan akan dinaikkan lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.

Beliau dipetik berkata, peratus kenaikan itu juga adalah kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara memandangkan sebelum ini jumlah paling tinggi adalah pada kadar 13 peratus.

Katanya, Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada jumlah sebelumnya.

Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan tidak ada sebarang sebab yang membuatkan pelaksanaan pindaan Ordinan Buruh Sabah dilewatkan.

“Ini bukan kerana ada suatu sebab, tetapi kita buat perubahan mengikut keadaan masa dan kepentingan para pekerja kita.

“Jadi kita kena ubah untuk memastikan kepentingan pekerja di Sabah terjaga dan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, pindaan berkenaan sudah diluluskan di peringkat kabinet dan dibawa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Sehubungan itu katanya, terpulang kepada peringkat Parlimen untuk meneliti perkara itu.

— TAMAT