Home » Hasrat parti lain jalin kerjasama dengan GRS perlu diperhalusi: Robert
Berita Tempatan Politik

Hasrat parti lain jalin kerjasama dengan GRS perlu diperhalusi: Robert

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, keputusan untuk menerima hasrat mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan GRS buat masa ini perlu diperhalusi bagi mengelak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

KOTA KINABALU: Kestabilan politik di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini perlu ditakrifkan dengan tegas bagi memastikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) terus dicapai mengikut perancangan.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, keputusan untuk menerima hasrat mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan GRS buat masa ini perlu diperhalusi bagi mengelak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

“Secara peribadi, saya berterima kasih atas hasrat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Bersatu yang menunjuk minat dengan GRS. Namun, dalam tempoh ini kestabilan politik di negeri Sabah dalam pentadbiran kerajaan GRS adalah prinsip teguh demi pembangunan rakyat Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyuarakan pandangan mengenai kerjasama dengan GRS.

 
Katanya, acuan untuk kelancaran pembangunan negeri Sabah adalah kestabilan politik harus dipertahankan agar sistem pentadbiran kerajaan negeri tidak perlu banyak memikirkan mengenai soal perkongsian kuasa politik khasnya parti luar yang kurang menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Robert yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, tidak lama lagi Sabah bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang memerlukan komitmen GRS untuk menjaga sentimen politik setempat sesuai dengan denyut nadi rakyat Sabah.

 
“Fokus ketika ini terarah kepada mempastikan kehendak rakyat akar umbi yang ingin melihat dasar pentadbiran yang kukuh untuk menikmati pembangunan berterusan. Soal bekerjasama dalam politik itu perkara kedua kerana komponen parti sedia ada sudah cukup untuk mengharmonikan kestabilan kerajaan GRS,” katanya.

 
Dalam pada itu, Robert turut mengakui kerjasama GRS dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah mampu untuk melicinkan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini tanpa sebarang masalah.

 
“Kerjasama erat antara GRS dan PH Sabah nampaknya tidak menimbulkan isu-isu yang boleh mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri. Keselesaan itu membuatkan kita sepakat dalam semua perancangan menuju misi SMJ demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya.

 
Sabtu lepas, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, partinya terbuka menjalin kerjasama dengan semua parti di Sabah termasuk GRS.

Keesokan harinya pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata partinya akan meneliti kemungkinan kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah Ke-17.

— Kenneddy Corlleus