Home » Tukar gelaran KM kepada ‘Premier’, tanda status Sabah setara dalam Persekutuan Malaysia: Mohd Shahril
Berita Tempatan Politik

Tukar gelaran KM kepada ‘Premier’, tanda status Sabah setara dalam Persekutuan Malaysia: Mohd Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin menyambut baik gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong yang mahu Kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk menukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’.

Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata alasan beliau (ADUN Tanjong Kapor) adalah tepat kerana ia dapat mencerminkan dengan jelas status Sabah sebagai rakan kongsi yang sama rata semasa pembentukan Malaysia pada 1963.


Jelasnya lagi, ia penting bagi menunjukkan status Sabah sebagai rakan sekutu sama rata dalam penubuhan Malaysia dan bukan sebaliknya sekaligus memperlihatkan ketegasan serta kesungguhan kerajaan Sabah dalam menuntut hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Justeru Mohd Shahril berharap semua wakil rakyat termasuk ADUN pembangkang akan memberikan sokongan kepada cadangan itu yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai depan bersama-sama tiga lagi Rang Undang-Undang (RUU) lain.


Beliau berkata demikian ketika menghubungi Utusan Borneo pada Rabu bagi mengulas mengenai gesaan ADUN Tanjong Kapor (Ben Chong) yang meminta kerajaan Sabah untuk memberikan pertimbangan untuk mengubah gelaran Ketua Menteri Sabah kepada Premier.

Ben Chong dipetik berkata, tiba masanya Sabah menukar gelaran kepada Premier bagi memaklumkan bahawa status Sabah berbeza dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.


Tegas beliau, negara Komanwel lain seperti Australia dan Kanada sudah mengikut protokol ini, di mana perdana menteri adalah pemimpin yang dipilih negara itu dan wilayah di dalamnya diketuai oleh seorang ‘Premier’.


Dalam perkembangan sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam memberitahu, cadangan pertukaran gelaran jawatan Ketua Menteri akan dibahaskan pada sidang DUN pada Julai ini termasuk tiga lagi RUU lain.

Ruslan yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap pertukaran gelaran kepada Premier berkata, usaha itu adalah sejajar dengan tuntutan MA63 dan pada masa sama menggambarkan dengan jelas kedudukan ‘setara’ Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment