Home » Jambatan gantung baharu beri manfaat 278 orang penduduk
Berita Tempatan Politik

Jambatan gantung baharu beri manfaat 278 orang penduduk

RASMI: Joachim ketika menyempurnakan perasmian jambatan baharu Sungai Malinsau, Kg. Linapasan.

RANAU: Jambatan gantung baharu sepanjang 90 meter merentasi sungai Malinsau, Kampung Linapasan dalam Mukim Malinsau akan memberi manfaat kepada 278 orang penduduk.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, kebanyakkan penduduk itu terlibat dalam aktiviti pertanian. 


Beliau berkata demikian ketika merasmikan kemudahan berkenaan di sini, kelmarin. Perasmian diadakan sempena lawatan beliau ke Kg. Linapasan.


Dalam lawatan itu, Joachim turut menyampaikan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada empat penerima. 


“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, kerajaan  juga memperuntukan sebanyak 20 unit rumah SMJ bagi mereka yang sangat memerlukan pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun ini. 


“Sekiranya kerajaan GRS masih memerintah, program ini akan diteruskan,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan perasmian gelanggang bola tampar baharu dan menyaksikan perlawanan antara penduduk kampung berkenaan.


Ketika ditemui media, Joachim berkata, beberapa jalan raya sedang dalam pembinaan di DUN Kundasang. Antaranya jalan raya dari simpang Terawas menuju ke Kg. Kaingaran dan dari simpang Bongkud ke Mini Estet Sejahtera (Mesej) di Kg. Mansalu. 


“Setakat ini, ini adalah projek pembinaan jalan raya terbesar di sini,” katanya, sambil menambah pembinaan jalan raya itu melibatkan kos berjumlah lebih RM240 juta. 


Selain itu katanya, pihaknya turut dalam proses permohonan kepada kerajaan bagi jalan-jalan kampung seperti jalan ke Nalumad dan ada beberapa projek jalan raya pertanian untuk dinaik taraf dalam tempoh dua sehingga tiga tahun, dijangka melibatkan kos sebanyak RM40 juta. 


Joachim berkata, pihaknya bersama Pejabat Daerah juga akan mengenal pasti apa keutamaan lain yang diperlukan di DUN Kundasang yang mempunyai 68,000 penduduk. 

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment