Home » GRS jangan leka, jerat politik menanti
Politik Sudut Pandangan

GRS jangan leka, jerat politik menanti

GRS perlu bersedia supaya jangan terperangkap dengan jerat permainan politik, sebaliknya kekal dengan MISI rumah kita, kita jaga, dan memberi tahu rakyat, bahawa perjuangan GRS sangat jelas iaitu SABAHFIRST, SABAHFORWARD, SABAHPROSPER DAN SABAHUNITED demi SAYANGI SABAH, agar Sabah menuju kestabilan politik dalam rangka memakmurkan dan mensejahterakan rakyat.

KETERUJAAN kemenangan calon PH pada PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu bukan sahaja disambut para pemimpin parti itu akan tetapi oleh pemimpin Umno, sambil berkata bahawa sambutan rakyat terhadap kerjasama PH-Umno semakin diterima rakyat.

Pada PRK itu, walaupun peratusan pengundi rendah (61 peratus) berbanding PRN2023 (69 peratus) undi calon PH kekal pada paras 14 ribu, manakala PN pada paras undi serupa seperti PRN2023 iaitu 10 ribu.

Menerusi komposisi pengundi yang diperolehi masing-masing parti utama, membawa erti, penyokong masing-masing tidak berganjak, bercanggah dengan pendapat umum dan penganalisis, bahawa penyokong PH akan berkurangan kerana protes kerana bekerjasama dengan Umno, manakala Umno akan juga kehilangan penyokong kerana protes kerana bekerjasama dengan PH terutama parti DAP.

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu seperti mana rekod lampau, mana-mana kawasan campuran kekal didominasi Pakatan Harapan, yang membawa makna bahawa kaum cina dan india kekal dengan parti itu untuk jangka masa panjang.

Bagi PH kerjasama dengan Umno merupakan bonus, kerana undi penyokong tegar Umno menyumbang kepada majoriti kemenangan.

Melihat pada kerjasama PH-Umno yang memberi keuntungan pada PH khususnya di Semenanjung kemungkinan akan berlaku bahawa kerjasama/hubungan itu berkekalan termasuk berhadapan dengan pilihan raya.

Tidak mustahil pada masa sekarang sedang berlaku pertimbangan pro dan kontra, positif dan negatif antara dua parti itu berkaitan kerjasama atau kolaborasi.

Semenanjung yang mempunyai 165 kerusi parlimen, mana-mana parti atau blok parti hanya memerlukan 112/222 untuk majoriti mudah, dan jumlah itu tidak mustahil dicapai.

Gabungan parti yang mempunyai peluang mencapai itu adalah PH-Umno, kerana PH tidak tergugat di kawasan majoriti kaum cina, kawasan campuran dan dapat membantu Umno di kawasan majoriti kaum melayu.

Jika pertimbangan atau pendekatan demikian ditempuh, maka lakaran di atas meja, kemenangan di Sarawak dan Sabah merupakan bonus menunju kuasa 2/3.

Bagi Sarawak hanya PH perlu berunding dengan GPS, manakala di Sabah keadaan agak berliku, kerana selain kehadiran PH juga Umno yang mempunyai hasrat tinggi menguasai negeri itu semula.

Keinginan Umno menguasai Sabah tercermin dengan janji-janji Presiden parti itu berkaitan peruntukan pembangunan untuk Sabah daripada Persekutuan, bahawa tahun hadapan parti itu akan memohon peruntukan yang lebih banyak untuk Sabah.

Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mempergunakan kementerian tersebut untuk menarik sokongan rakyat Sabah.

Akan diketahui dengan jelas pada PRN-17 Sabah akan datang, akan bagaimana kah bentuk kolaborasi apa kah mengekalkan status quo kedudukan kerjasama di peringkat negeri, iaitu GRS-PH Plus, atau kah berlaku kolaborasi baharu? semuanya bergantung bagaimana PH-Umno menterjemahkan keputusan PRK Kuala Kubu Baharu, kerana keputusan itu adalah indikasi jelas, bahawa kolaborasi dua parti itu di Semenanjung memberi keputusan positif atau kelebihan pada dua parti itu.

Untuk sementara baik PH di peringkat Pusat mahupun Umno belum menyatakan bentuk kolaborasi pada PRN-17 Sabah, ertinya berbagai kemungkinan akan berlaku, walaupun di peringkat negeri, PH dan GRS cenderung meneruskan status quo, manakala Umno pula bertekad mengambil alih kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan Parti Warisan.

Berhadapan dengan berbagai senario dan kemungkinan, GRS perlu bersedia supaya jangan terperangkap dengan jerat permainan politik, sebaliknya kekal dengan MISI rumah kita, kita jaga, dan memberi tahu rakyat, bahawa perjuangan GRS sangat jelas iaitu SABAHFIRST, SABAHFORWARD, SABAHPROSPER DAN SABAHUNITED demi SAYANGI SABAH, agar Sabah menuju kestabilan politik dalam rangka memakmurkan dan mensejahterakan rakyat.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment