Home » Haramkan penjualan kimia berbahaya: Masiung
Berita Tempatan Politik

Haramkan penjualan kimia berbahaya: Masiung

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengharamkan penjualan kimia berbahaya seperti asid sulfurik pekat yang bebas dijual di pasaran negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan kerajaan negeri dan persekutuan perlu segera mengharamkan penjualan asid berbahaya itu di pasaran tempatan.


“Pihak berwajib perlu melihat perkara ini dari sudut negatif dan lesen penjualan asid kimia wajar dikaji semula.


“Kita bimbang tindakan menyimbah asid akan menjadi amalan terhadap sesiapa sahaja yang berniat zalim untuk menyarang mangsa,” katanya dalam satu kenyatan di sini.


Beliau berkata, kebelakangan ini bahan kimia itu sering disalah guna untuk dijadikan senjata yang boleh mengancam nyawa kerana mudah diperolehi tanpa kawalan yang ketat.


Isu serangan menggunakan asid sulfurik mendapat perhatian selepas tunggak utama bola sepak kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa disimbah asid terbabit di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, awal minggu lalu.


Awal bulan ini, seorang penuntut wanita Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) turut parah selepas disimbah asid oleh rakanya dalam kejadian di Kota Bharu, Kelantan.


Sebelum itu seorang anggota polis melecur diseluruh badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kuantan, Pahang.
Masiung berkata, penjualan asid berbahaya itu wajar diharamkan di negara ini, kerana ia akan menjadi ikutan sesiapa sahaja untuk menyerang mangsa termasuk pemimpin kelak.


Katanya, penjualan bahan kimia pekat yang tidak dikawal dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat berpanjangan kepada orang awam yang mempunyai isu permusuhan.


Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembanguanan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, penjualan bahan kimia berbahaya seperti sulfurik, hidroklorik dan nitric pekat begitu mudah dibeli di kedai perkakasan logam.


Menurutnya, asid pekat itu juga mudah diperolehi menerusi platform e-dagang dengan harga serendah RM50 ke bawah

— Vivi Olviana Najurus