Home » Individu gesa Ewon letak jawatan, perlu buktikan keputusan kabinet wujudkan JKDM Sabah
Berita Tempatan Politik

Individu gesa Ewon letak jawatan, perlu buktikan keputusan kabinet wujudkan JKDM Sabah

Nelson mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed yang menyatakan Ewon boleh meletak jawatan sekiranya tidak akur dengan keputusan kabinet dan mempertikaikan pelantikan JKDM.

KOTA KINABALU: Pihak yang menggesa agar Datuk Ewon Benedick meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi harus memahami konsep dan maksud tanggungjawab kolektif (Collective Responsibilities) anggota jemaah kabinet.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Nelson Agang berkata, Collective Responsibilities adalah apabila ada keputusan kabinet dan semua anggota kabinet harus menyokong keputusan tersebut tanpa mengira pandangan mereka yang bertentangan sebaik sahaja ia dibuat.

“Di dalam perkara ini, adakah satu keputusan kabinet mengenai penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah?

“Adakah mereka ini pasti dan mengetahui hakikat bahawa sudah terdapat keputusan kabinet yang mengesahkan pembentukan JKDM di Sabah?

“Datuk Ewon telah menjelaskan bahawa tidak ada keputusan kabinet yang meluluskan penubuhan JKDM di Sabah sebaliknya perkara itu mesti dibincang dan dirundingkan terlebih dahulu dengan kerajaan Sabah,” katanya dalam kenyataan media, yang dipetik oleh Nabalu News.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed yang menyatakan Ewon boleh meletak jawatan sekiranya tidak akur dengan keputusan kabinet dan mempertikaikan pelantikan JKDM.

Nelson berkata, Datuk Joniston Bongkuai juga telah membuat kenyataan mempersoalkan penubuhan JKDM di Sabah menyaingi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada.

“Oleh itu, memandangkan tiada keputusan mengenai penubuhan JKDM di Sabah, maka tanggungjawab kolektif tidak timbul dan mereka yang mencabar Datuk Ewon meletak jawatan menunjukkan kejahilan mereka berkaitan perkara tersebut,” tegas Nelson.

Katanya lagi, ketika ini ramai yang memperkatakan hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Salah satu hak yang paling asas ialah autonomi diberikan kepada Sabah untuk mentadbir kerajaan tempatannya tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan persekutuan.

“Mereka yang mengkritik Datuk Ewon dengan senang mengendahkan fakta bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang kini memberi kuasa atau autonomi kepada Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti JKKK di Sabah.

“Niat serta tujuan pindaan Ordinan Kerajaan Tempatan sangat jelas iaitu memberi dan mengembalikan autonomi kepada kerajaan Sabah.

“Ini adalah satu perkara yang sangat penting dalam menghormati dan mengiktiraf niat kepada MA63,” katanya.

Nelson berkata, kenyataan individu berkenaan yang menyatakan penentangan penubuhan JKDM seperti menafikan peluang mendapatkan lebih banyak peruntukan pembangunan Sabah, adalah tidak benar.

“Kita semua mengalu-alukan sebarang peruntukan yang disalurkan ke Sabah oleh kerajaan Persekutuan.

“Namun isu sebenar adalah bagaimana dan siapa yang seharusnya mempunyai tanggungjawab menguruskan peruntukkan ini supaya segala keputusan dan perancangan yang tepat dapat dibuat kepada pembangunan Sabah.

“Ini membawa kita kembali kepada niat dan tujuan kenapa Ordinan Kerajaan Tempatan Sabah dipinda. Ia adalah bagi memberi autonomi kepada Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya sendiri dan dalam perkara ini merujuk kepada pentadbiran kerajaan tempatan yang merangkumi JKKK.

“Saya menjemput para pemimpin yang mengkritik pendirian Datuk Ewon supaya lebih berfikiran terbuka untuk jangka panjang.

“Undang-undang dan dasar yang membawa kepada pindaan kepada ordinan kerajaan tempatan bukan sahaja membantu kerajaan Sabah sekarang tetapi terhadap mana-mana kerajaan Sabah masa depan,” jelas Nelson.

Beliau menjelaskan: “Jadi kepada rakan-rakan kita yang bukan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Sabah pada masa kini, jika pada masa akan datang mereka menjadi kerajaan negeri maka undang-undang ini ada untuk melindungi dan memperkasakan mereka untuk membuat keputusan yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya tanpa ada campur tangan”.

— TAMAT