Home » Kejadian 16 Mei tidak mengubah pendirian Kerajaan Sabah
Berita Tempatan Politik

Kejadian 16 Mei tidak mengubah pendirian Kerajaan Sabah

Datuk Jalumin Bayogoh ialah Pengarah Komunikasi Parti Star. Beliau merujuk kepada video yang dimuat turun olehTIKTOKER pro Barisan Nasional Suara-mahraen baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal konsisten dan tidak akan melepaskan atau berkompromi hal-hal berkaitan hak-hak Sabah terutama sekali tuntutan 40 peratus.

Mengulas lanjut, Ketua Penerangan Parti STAR, Datuk Jalumin Bayogoh berkata kejadian yang berlaku pada 16 Mei baru-baru ini telah dimanipulasikan oleh pihak -pihak  tertentu dengan mengaitkan kejadian tersebut dengan tuntutan 40 peratus.

“Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menyatakan dengan tegas pendirian Kerajaan Sabah dalam soal isu rayuan semakan kehakiman SLS terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Perjuangan tuntutan hak masih diteruskan dan kejadian pada 16 Mei tidak akan mengubah pendirian Kerajaan. Oleh itu, Janganlah kita terpesong  dengan naratif salah”, ujar beliau.

Tambah Jalumin, “Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sendiri telah memaklumkan Dewan di persidangan pada 21 April yang lalu bahawa Kerajaan negeri telah meminta data sebanyak 8 kali namun tidak ada jawapan dari Kerajaan Pusat. “

“Beliau turut memberi jaminan Kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya Kerajaan masih gagal memberikan data dengan melantik pentaksir bebas.

“Kenyataan Masidi jelas menggambarkan bahawa kerajaan tidak pernah diam malah sentiasa berusaha untuk menuntut hak Sabah yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, janganlah kita mengeruhkan keadaan dengan kenyataan-kenyataan yang berupa “andaian”.

“Berikan kepercayaan kepada kerajaan Sabah, kepada pemimpin-pemimpin yang telah dipilih rakyat untuk menangani perkara ini.”

Jalumin berkata demikian bagi mengulas beberapa paparan dalam media sosial yang dimuat naik oleh sebahagian pemimpin dan penyokong parti politik tertentu mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diheret ke Mahkamah Kota Kinabalu baru-baru ini.

Terdahulu, mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ravinthran N Paramaguru, Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Dato’ Dr Choo Kah Sing menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes berkenaan.

Khamis lepas, ketiga-tiga pihak yang terlibat dalam kes berkenaan, iaitu Persatuan Undang-Undang Sabah, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Sabah selesai memberi penghujahan mereka bagi kes berkenaan.

Prosiding yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu turut dihadiri pemimpin politik bersama pengikut masing-masing.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment