Home » KTI sasar kumpul RM48 juta dari IPO Sabah
Berita Tempatan Politik

KTI sasar kumpul RM48 juta dari IPO Sabah

PELANCARAN: Hajiji menyaksikan pelancaran prospektus IPO KTI Landmark Berhad bernilai RM48 juta di sini.

KOTA KINABALU: Pemaju hartanah bersepadu yang berpangkalan di Sabah, KTI Landmark Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM48 juta menerusi langkah penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif KTI Landmark, Gordon Loke, berkata, pihak syarikat merancang untuk menggunakan RM20.7 juta bersamaan 43.1 peratus daripada jumlah yang dikumpul daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk menambah keperluan modal kerja amnya untuk projek The Logg.

Katanya, ia termasuk kos pembinaan bangunan dan infrastruktur, bayaran kepada perunding dan profesional serta bayaran kepada pihak berkuasa tempatan untuk projek yang sedang berjalan.

“The Logg ialah projek pembangunan bercampur pertama syarikat dan juga projek pembangunan bersama pertama KTI dengan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Sabah.

“Hartanah ini juga mercu tanda dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.0 bilion akan dibangunkan di atas tanah seluas lima ekar di Luyang, Sabah menjelang Disember 2025 membabitkan dua blok kondominium, satu blok pangsapuri, sebuah hotel empat bintang dan bangunan komersial.

“Peruntukan untuk menambah keperluan modal kerja akan mengurangkan kebergantungan  kepada pembiayaan luar dan membolehkan kami menjalankan lebih banyak projek secara serentak,” katanya semasa pelancaran prospektus IPO KTI Landmark Berhad di sini semalam.

Pelancaran dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, sebanyak RM18.0 juta bersamaan 37.5 peratus daripada jumlah yang dikumpul daripada IPO akan digunakan untuk membiayai pemerolehan tanah sedia ada di Sabah untuk projek masa hadapan di Alamesra, di sini.

“Pada 9 Januari tahun lalu, KTI Landmark memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Millennium Amber Sdn Bhd untuk pemerolehan Alamesra Lands, yang diperuntukkan untuk Projek Ayuria Place di Alamesra, Kota Kinabalu dengan wang tunai RM74.0 juta.

“Tanah seluas 26.3 ekar itu akan dibangunkan menjadi hartanah kediaman bertingkat dalam pelbagai fasa sehingga 2028, dengan anggaran GDV kira-kira RM873.1 juta.

“Baki daripada jumlah yang dikumpul daripada IPO akan digunakan untuk membeli barisan pengeluaran sistem bangunan perindustrian baharu (IBS”) berjumlah RM2.1 juta iaitu 4.5 peratus, RM0.4 juta iaitu 0.7 peratus untuk menaik taraf perisian dan sistem dam RM3.0 juta bersamaan 6.3 peratus untuk membayar balik pinjaman bank manakala baki RM3.8 juta iaitu 7.9 peratus untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Katanya, sehingga kini, KTI sudah menyiapkan projek dengan jumlah GDV sebanyak RM1.2 bilion, di mana RM1.0 bilion daripada projek pembinaan dan reka bentuk manakala baki RM207.6 juta daripada projek pembangunan hartanahnya sendiri.

“Pada masa ini, KTI mempunyai sejumlah RM2.2 bilion GDV projek yang sedang berjalan dan akan melaksanakan projek di seluruh Kota Kinabalu, Tuaran, Sandakan dan Papar pada masa akan datang dengan 30 peratus adalah projek yang diberikan oleh LPPB dan selebihnya adalah usaha sama atau projek sendiri yang akan dibangunkan sehingga 2028.

“Antara projek Syarikat termasuklah Taman Wawasan di Beaufort, Taman La Gloxinia di Papar, Taman Seri Lemawang di Tuaran dan Taman Nelly, Taman Lavender dan The Logg di Kota Kinabalu,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023), KTI mencatatkan keuntungan bersih yang meningkat sebanyak 31.9 peratus kepada RM13.8 juta, daripada RM10.5 juta pada TK2022 iaitu keuntungan kasar yang lebih tinggi. 

“Hasil TK2023 meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM120.2 juta daripada RM112.9 juta pada TK2022.

“Dalam tempoh sama, keuntungan kasar syarikat berkembang kepada RM35.6 juta, iaitu margin untung kasar sebanyak 29.6 peratus berbanding 27.3 peratus pada TK2022 disebabkan oleh gabungan sumbangan daripada projek dengan margin untung kasar yang lebih tinggi,” katanya sambil menambah margin bersih untuk TK2023 juga meningkat kepada 11.5 peratus daripada 9.3 peratus bagi tempoh sama.

Menurutnya, dalam pelaksanaan langkah penyenaraian itu, KTI akan menerbitkan 160.0 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 45.0 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20.0 peratus dan 5.6 peratus daripada modal saham KTI yang diperbesarkan pada harga terbitan iaitu RM0.30 sesaham.

“Daripada 160.0 juta saham baharu, 40.0 juta saham akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian, 40.0 juta saham baharu untuk pengarah yang layak serta pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan KTI dalam Peruntukan Borang Merah Jambu.

“Baki 80.0 juta saham baharu dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Bagi bahagian tawaran untuk jualan pula, 20.0 juta saham dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI manakala baki 25.0 juta saham akan diperuntukkan secara persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan modal saham yang diperbesarkan kepada 800.0 juta saham, KTI dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM240.0 juta.

“IPO terbabit dibuka untuk langganan sehingga 4 Jun depan dan salinan bagi prospektus berkaitan dengan tawaran ini boleh diperoleh menerusi laman sesawang Bursa Securities (www.bursamalaysia.com).

“KTI juga dijadual untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 19 Jun depan, manakala M & A Securities Sdn Bhd ialah Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment